Rabu, 24 Februari 2016 | 10:44pm

JDT kenduri gol, benam Ayeyawady United


SAFIQ Rahim (8) bersama Juan Lucero (19) meraikan jaringan kelapan JDT ketika bertemu Ayeyawady United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru, malam ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan kesukaran apabila 'kenduri gol' mengatasi Ayeyawady United 8-1 pada aksi pembukaan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Nyata juara bertahan itu tidak menunjukkan belas kasihan dengan hatrik daripada kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim, dua gol daripada Juan Martin Lucero serta masing-masing satu daripada Jorge Pereyra Diaz, Marcos Antonio serta Aidil Zafuan untuk membenam kelab Myanmar itu manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Thiha Zaw.

JDT mendahului seawal minit ke-5 menerusi gerakan solo Safiq yang kemudiannya meledak rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Ayeyawady, Vanlal Hruala tetapi penonton di Larkin sedikit tersentak selepas Thiha Zaw mengikat kedudukan 1-1 dua minit berselang juga menerusi jaringan jarak jauh.

Namun, gerakan dari sebelah kanan menerusi hantaran S Kunanlan disudahkan Diaz di dalam kotak penalti membolehkan JDT mendahului pada minit ke-13 sebelum Marcos Antonio melebarkan jurang pada minit ke-30 menerusi tampanan di hadapan gol berpunca daripada sepakan sudut Safiq untuk selesa mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.


PEMAIN Johor Darul Ta’zim JDT, Safiq Rahim (jersi biru) diasak pemain Ayeyawady United, Naing Lin Tun (kiri) dalam perlawanan Kumpulan H, Piala AFC, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru, malam ini. Safiq jaring hatrik bantu JDT belasah Ayeyawady 8-1. - Foto Mohd Azren Jamaludin

PEMAIN Johor Darul Ta’zim JDT, Mahali Jasuli (tengah) diasak pemain Ayeyawady United, Naing Lin Tun (kanan) dalam perlawanan Kumpulan H, Piala AFC, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru, malam ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Babak kedua bermula, Harimau Selatan terus garang selepas Safiq sekali lagi membolosi gawang Ayeyawady untuk gol keempat JDT pada minit ke-48 sebelum dia melengkapkan hatriknya pada minit ke-62 untuk kedudukan 5-1 buat pasukan bimbingan Mario Gomez itu.

Seakan belum puas dengan lima gol, penyerang import dari Argentina, Lucero menambah derita 'The Fishermen' untuk gol keenam JDT pada minit ke-81 sebelum dia melakar jaringan keduanya empat minit sebelum perlawanan tamat.

Berbaki seminit sebelum tamat, Aidil Zafuan turut mencetak nama selaku penjaring dengan meledak gol kelapan JDT.

Kemenangan ini sekaligus mengulangi pencapaian cemerlang diraih JDT ketika membenam pasukan sama 5-0 pada peringkat 16 pasukan terbaik Piala AFC musim lalu.

Berita Harian X