Rabu, 24 Februari 2016 | 8:23pm

TPPA: PKS sudah dipersiapkan hadapi pembukaan pasaran

bhbiz.bh.com.my

KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negara sudah dipersiapkan bagi menghadapi persaingan dan pembukaan pasaran lebih meluas berikutan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Dr Hafsah Hashim, berkata mulai tahun 2010 lagi, pihaknya sudha berusaha mempersiapkan PKS untuk menghadapi persaingan dan pembukaan pasaran berikutan penyertaan Malaysia dalam Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang mana kira-kira 99 peratus produk PKS negara sudah tarif sifar.

Beliau berkata, pelaksanaan TPPA sekadar memperluaskan lagi skop itu dan SME Corp berharap PKS negara juga berupaya mengambil peluang yang terdapat dalam kalangan negara ahli TPPA.

"Dalam TPPA, antara perkara yang menjadi tumpuan negara anggotanya termasuk Malaysia bagi PKS ialah dalam membina kapasiti komuniti perniagaan dan ia penting bagi memastikan PKS bersedia dengan sebarang cabaran apabila TPPA dilaksanakan kelak," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis aprisiasi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini.

TUBE adalah satu daripada inisiatif SME Corp dalam menyokong usaha kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) untuk melonjakkan pendapatan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan membantu mewujudkan usahawan berjaya dalam kalangan belia.

Program itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 29 Mac 2014 telah memberikan impak positif kepada peserta yang terbabit yang mana daripada 448 belia Bumiputera yang menyertai TUBE kumpulan pertama, 99 peratus sudah memulakan perniagaan dengan jumlah keseluruhan nilai jualan tahunan terkumpul tahun 2015 yang berjaya dijana mencecah RM17.8 juta.

Usahawan TUBE sehingga kini juga sudah berjaya mewujudkan sejumlah 848 peluang pekerjaan.

Berita Harian X