Rabu, 24 Februari 2016 | 5:53pm

Kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Padang Siding dipadamkan sepenuhnya


ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Padang Siding, Pauh, Arau, sejak pagi semalam. - Foto Eizairi Shamsudin

ARAU: Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Padang Siding, Pauh di sini sejak pagi semalam sudah dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 1 pagi tadi.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Subri Hussain, berkata 1 unit pam 'hydro-sub' digunakan bagi mempercepatkan kerja pemadaman api di kawasan seluas kira-kira 2.25 hektar itu.

"Kita berjaya memadamkan kebakaran itu tetapi 30 anggota bomba dan tiga jentera berserta satu tangki air masih ditempatkan di tapak pelupusan berkenaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan cuaca panas kering dan angin bertiup kencang.

"Anggota kami akan meneruskan kerja pemantauan selain meningkatkan proses pemadaman asap dengan menambak tanah di atas tapak pelupusan sedalam enam meter," katanya.

Mohd Subri berkata proses menambak tanah itu dilakukan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

"Kita jangkakan operasi ini berlanjutan hingga tiga hari lagi dan semuanya bergantung pada keadaan cuaca. Bagaimanapun keadaan ketika ini adalah terkawal dan pemantauan dilakukan secara berterusan," katanya ketika ditemui di tapak pelupusan sampah itu hari ini.

Mohd Subri berkata, arah tiupan angin yang tidak menentu dan asap di kawasan tapak pelupusan itu turut menjejaskan penglihatan anggotanya.

"Jarak penglihatan kami agak terhad berikutan asap tebal di kawasan ini. Namun operasi tetap dijalankan 24 jam bagi memadamkan bara api di bawah tanah," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis berkata pihaknya telah memasang alat pengesan sementara Indeks Pencemaran Udara (IPU) 'PM10' di kawasan Sekolah Kebangsaan Pauh bagi mengukur tahap habuk halus kurang daripada 10 mikron.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin ketika dihubungi memberitahu setakat ini pihaknya belum menerima laporan peningkatan kes penyakit berkaitan jerebu atau asap di klinik sekitar pekan Pauh. - BERNAMA

Berita Harian X