Rabu, 24 Februari 2016 | 4:17pm

Puncak Gunung Pulai masih terbakar


KEPULAN asap masih menyelubungi kawasan sekitar Gunung Pulai yang terbakar dipercayai akibat cuaca panas. - Foto Safuri Kamaruddin

BALING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa mengepam air dari Sungai Ketil ke takungan berhampiran puncak Gunung Pulai bagi mengawal kebakaran yang berlarutan sejak semalam.

Kebakaran berhampiran puncak gunung itu dilapor semakin merebak memasuki kawasan pergunungan Kampung Padang Cik Mas, dekat sini dan dikhuatiri boleh memburukkan keadaan.

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan JBPM Kedah, Mohamad Yunus Abu, berkata operasi memadam di gunung itu semakin sukar kerana bentuk muka buminya lebih mencabar jika dibandingkan dengan operasi memadam api di Gunung Baling, dua minggu lalu.

Beliau berkata, kesukaran mendaki kerana tidak banyak jalan untuk sampai di lokasi kebakaran menyebabkan anggota perlu berhati-hati.

"Kita berpecah kepada tiga kumpulan dan membawa peralatan memadam serta bekalan makanan ke puncak gunung," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamad Yunus berkata, dengan bantuan malim gunung yang menggunakan laluan selamat melalui Gua Layang dan Kelambu, pihaknya mengambil masa dua jam untuk tiba ke kawasan kebakaran.

"Anggota penyelamat akan bermalam di puncak gunung jika operasi memadam tidak dapat ditamatkan hari ini. Keadaan kawasan menyukarkan anggota penyelamat untuk turun dan naik semula ke puncak itu," katanya.

Beliau berkata, banyak pokok yang selama ini menjadi sumber rezeki penduduk seperti orkid liar dan paku aji turut musnah dalam kebakaran itu.

Berita Harian X