Rabu, 24 Februari 2016 | 3:49pm

Gomez waspada ancaman Ayeyawady malam ini

KETUA Jurulatih JDT, Mario Gomez. - Foto Osman Adnan

JOHOR BAHRU: Walaupun berstatus juara bertahan dan pernah membelasah lawan musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap berwaspada apabila melayan kunjungan Ayeyawady United pada aksi pembukaan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Pengendali JDT, Mario Gomez, menegaskan walaupun pernah menewaskan kelab dari Myanmar itu 5-0 pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik kalah mati musim lalu, Harimau Selatan tidak boleh tampil terlalu yakin menentang kelab Myanmar itu.

"Walaupun musim lalu kita menang besar tetapi pada musim ini jelas berbeza dan saya jangkakan Ayeyawady United akan tampil dengan corak permainan berlainan, apatah lagi pasukan itu kini dibimbing oleh jurulatih baharu.

"Sememangnya kita mahu kemenangan namun perlu berwaspada dengan barisan pemain lawan terutama kapten Min Min Thu dan kelibat pemain import Chizoba Christopher dan pemain dari Jepun Nishihara Takuma yang mampu memberi ancaman.

"Bagi persiapan JDT untuk perlawanan itu, saya terpaksa melupakan khidmat Azamuddin Akil yang mengalami kecederaan ketika sesi latihan dua hari lalu manakala Junior Eldstal dan Asraruddin Putra Omar masih belum cergas sepenuhnya," katanya.

Gomez juga tampak berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain muda JDT, Muhd Fazly Mazlan yang tampak beraksi dengan konsisten malah sentiasa menunjukkan peningkatan sepanjang tiga aksi lalu ketika saingan Liga Super dan pusingan kedua Piala FA.

"Saya akui buat masa ini, Fazly sahaja yang dipertaruhkan di posisi bek kiri dan jika pemain itu mengalami kecederaan, saya masih ada pilihan sama ada Mohd Fadhli Shas atau S Kunanlan mampu beraksi di posisi itu," kata Gomez.

Sementara itu, pengendali Ayeyawady United, U Kyaw Lwin mengakui tugas berat bakal dihadapi skuad bimbingannya, namun akan berusaha memberi tentangan sekali gus mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

"Kami akan beri tentangan sengit walaupun kita tahu JDT adalah juara Piala AFC dan kami sudah membuat persediaan rapi selepas mengharungi tujuh perlawanan Liga Kebangsaan Myanmar," katanya.

Berita Harian X