Rabu, 24 Februari 2016 | 1:51pm

Warga emas sesat di hutan ditemui selamat

GEORGETOWN: Seorang warga emas yang tersesat ketika melakukan aktiviti riadah bersendirian di Water Fall Moon Gate di sini, ditemui selamat lewat malam tadi.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal yang melakukan operasi dan menyelamat (SAR) selepas menerima laporan pada jam 10 malam, menemui Tan Seng Hin, 66, dalam keadaan keletihan dan cedera ringan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal berkata, mangsa ditemui pada jam 11 malam selepas dipercayai sesat dalam hutan berkenaan sejak petang.

"Kita menerima aduan daripada isterinya pada jam 10 malam yang bimbang apabila mangsa tidak pulang ke rumah sejak petang.

"Usaha membawa mangsa keluar dari kawasan hutan berkenaan mengambil masa kira-kira 30 minit," katanya.

Berita Harian X