Rabu, 24 Februari 2016 | 8:54am

Messi sumbat dua gol benam Arsenal 2-0

PENYERANG Lionel Messi (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan sejurus membolosi gawang Arsenal pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA

LONDON: Lionel Messi membuatkan Arsenal terpukau apabila meledak dua gol bagi membantu Barcelona menewaskan The Gunners 2-0 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Jurulatih Barcelona, Luis Enrique, berseloroh sebelum perlawanan itu betapa dia hanya perlu mengucapkan 'Abracadabra' kepada Messi, Neymar dan Luis Suarez bagi menghasilkan magis mereka yang mampu membuatkan Arsenal kecewa.

Dalam perlawanan itu, Messi cemerlang apabila menjaringkan dua gol pada babak kedua bagi meletakkan juara Liga Sepanyol itu kekal bersaing dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Keputusan itu menyaksikan Arsenal kini dalam bahaya, dengan mereka hampir untuk tersingkir di pusingan 16 terbaik buat kali keenam berturut-turut.

Tha Catalan yang memburu gelaran Eropah keenam kini melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 33 perlawanan dalam semua kejohanan.

"Saya suka dengan apa yang kami lakukan sejak mula lagi. Saya suka cara kami menjaringkan gol dan kami menguasai perlawanan.

"Lawan kami bertahan dengan semua pemain berada di kawasan mereka, tetapi kami masih mampu untuk menjaringkan gol," kata Enrique. - AFP

Berita Harian X