Rabu, 24 Februari 2016 | 12:11am

Teater muzikal randai di Istana Budaya

KUALA LUMPUR: Sebuah teater muzikal kesenian tradisional masyarakat Minangkabau akan dipentaskan untuk kali pertama di Istana Budaya selama tiga hari bermula Khamis ini.

Teater yang akan mementaskan sejenis tarian yang dikenali sebagai randai akan dijayakan oleh barisan pelakon popular termasuk Remy Isyak yang akan memegang watak utama 'Cindua Mato'.

Para pelakon lain ialah Datuk Jalaluddin Hassan (Rajo Tiang Bungkuk), Datuk Ahmad Tarmimi Siregar (Datuk Bandaro), Puteri Aishah (Puti Bongsu) dan Buyung Zasdar (Tuan Kadi).

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli, berkata pementasan itu adalah sebahagian daripada usaha jabatan berkenaan untuk memastikan kelangsungan kesenian randai dalam masyarakat moden agar warisan itu akan dapat diteruskan generasi akan datang.

"Randai ialah kesenian tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Minangkabau yang berasal daripada Sumatera Barat yang telah dibawa oleh masyarakatnya ke seluruh pelusuk alam Melayu di nusantara," katanya.

Teater muzikal itu adalah inisiatif JKKN dan ia dijayakan dengan kerjasama Istana Budaya.

Norliza berkata, pementasan teater itu turut mengekalkan struktur asal dalam persembahan randai termasuk nyanyian, gerak pencak serta gaya bahasa.

Persembahan selama dua jam Jumaat dan Sabtu ini akan bermula pada jam 8.30 malam manakala pada hari Ahad bermula jam 3 petang.

Sementara itu pengarah teater itu Lokman Ghani, berkata muzikal itu akan menggunakan bahasa Melayu dalam dialognya bagi memudahkan penonton memahami jalan ceritanya namun ia akan mengekalkan bahasa Minang dalam puisi lagu, nama-nama khas pelakon dan pantun.

"Ia mengisahkan mengenai Cindua Mato iaitu anak kedua raja dari isteri keduanya seorang dayang-dayang istana yang akhirnya berjaya menjadi seorang raja di Pagaruyung (di Sumatera Barat)," katanya.

Tiket berharga RM25, RM55 dan RM85 boleh didapati dengan melayari www.airasiaredtix.com, kaunter tiket Istana Budaya, Rock Corner di The Garden, Mid Valley, KLCC, Subang Parade, The Curve, Victoria Music di Sungai Wang, Amcorp Mall dan Tropicana. - BERNAMA

Berita Harian X