Selasa, 23 Februari 2016 | 3:40pm

Gunung Pulai terbakar, dipercayai perbuatan khianat

BALING: Pasukan Bomba dan Penyelamat daerah ini giat berusaha memadamkan kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat di Puncak Gunung Pulai, di sini, sejak awal pagi tadi.

Komander Operasi, Umrani Che Mat, berkata bomba menerima panggilan pada jam 7.43 pagi dan bergegas ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran daripada merebak.

Beliau berkata, kumpulan pertama membabitkan 30 anggota penyelamat bergegas ke puncak gunung pada ketinggian 250 meter untuk memadam api dengan menggunakan 'jet shooter'.

Katanya, kebakaran merebak di kawasan seluas tiga hektar dengan empat tompokan asap dapat dilihat di puncak gunung ketika ini.

"Usaha peringkat awal dilakukan untuk memadam kebakaran daripada merebak ke kira-kira 500 meter dari penempatan penduduk di kaki gunung itu.

"Kita juga meminta bantuan Pasukan Khas Unit Udara (MUST TEAM) untuk membantu kerana kebakaran Gunung Pulai lebih teruk berbanding kebakaran Gunung Baling dua minggu lalu," katanya.

Beliau berkata, kedudukan geografi yang bahaya menyukarkan operasi memadam kerana keadaan curam dan licin berikutan batu kapur.

Berita Harian X