Isnin, 20 Oktober 2014 | 7:26pm

Bajet 2015 sedia lebih banyak wang untuk rakyat

KUALA LUMPUR: Bajet 2015 menyediakan lebih banyak wang kepada rakyat Malaysia bagi membantu mereka dalam perbelanjaan berikutan peningkatan kos hidup, kata Ketua Pengarah Serantau, Perkhidmatan Perbankan Pelaburan dan Permodalan Ekuiti Pasaran Korporat RHB Investment Bank Bhd, Gan Kim Khoon.

Beliau berkata bajet itu juga akan meningkatkan hasil kerajaan.

Dengan menaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM300 kepada RM950 daripada RM650 tahun lalu, kerajaan sebenarnya membantu golongan berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan kenaikan kos sara hidup serta impak pengurangan subsidi bahan api.

"Bajet ini juga akan memberi manfaat kepada rakyat melalui pengurangan cukai daripada satu peratus kepada tiga peratus mulai tahun depan, tempoh yang lebih awal berbanding 2016, yang akan mengeluarkan 300,000 rakyat Malaysia daripada membayar cukai," katanya pada persidangan media di Deloitte TaxMax di sini hari ini.

Seminar sehari itu yang dihadiri 400 peserta, memberikan gambaran lebih mendalam mengenai Bajet 2015.

Kim Khoon adalah antara ahli panel, berkata usaha kerajaan itu akan membantu mengurangkan kesan kelembapan akibat inflasi penolakan kos serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas pendapatan boleh guna isi rumah.

Ketua Percukaian Negara Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng, pula berkata kerajaan berusaha keras mengurangkan hutang negara dan meningkatkan kedudukan fiskalnya.

"Daripada pemberian subsidi secara meluas, kita sedang bergerak untuk menyokong bukan sahaja kumpulan golongan berpendapatan rendah, malah bagi membantu mengurangkan perbelanjaan fiskal negara.

"Bajet 2015 juga disediakan untuk menerima rancangan baharu bagi memastikan kita mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Mengikut Wing Peng, walaupun akan berlaku sedikit masalah selepas pelaksanaan GST kelak, beliau mahu melihat tabungan negara ini mencatat pertumbuhan.

Beliau berkata kerajaan juga sudah menambah lebih 900 item berkadar sifar dan dikecualikan GST.

"Senarai ini paling panjang jika dibandingkan mana-mana negara yang melaksanakan cukai itu.

"Ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X