Isnin, 20 Oktober 2014 | 7:04pm

Linangan air mata iringi kejayaan Amil-Khairul


REAKSI pemain Boling berpasangan paralimpik negara, Ahmad Amil Husin (kiri) dan Mohd Khairul Ishak semasa acara beregu campuran TPB 8 + TPB 8 akhir di Sukan Para Asia di Gimnasium Anyang Hogye di Incheon, hari ini. - Foto BERNAMA

INCHEON: Linangan air mata mengiringi kejayaan pasangan atlet boling negara - Ahmad Amil Husin dan Mohd Khairul Ishak - selepas meraih pingat perak acara beregu campuran TPB8 + TPB8 pada Sukan Para Asia 2014, hari ini.

Pasangan itu yang mengumpul 1,662 jatuhan pin kelihatan sebak kerana tidak menyangka dengan kemenangan tersebut sebaik acara berkenaan berakhir di Gimnasium Anyang Hogye di sini.

Pingat emas acara itu milik pasangan tuan rumah, Kwon Min-Kyu dan Park Sang-Soo yang melakukan 1,896 jatuhan pin manakala gandingan Saaid Anuar dan Tay Leong Hock dari Singapura yang mencatat 1,582 jatuhan pin meraih gangsa.

"Kemenangan ini sangat beremosi kerana terlalu banyak cabaran terpaksa saya lalui untuk meraih kejayaan ini. Kami memang tidak menyasarkan meraih pingat tetapi hanya mahu melakukan terbaik buat diri sendiri dan negara," kata Ahmad Amil.

Dia yang mula berpasangan dengan Mohd Khairul sejak Kejohanan Asia 2014 di Thailand Julai lalu, berharap kejayaan itu akan menjadikan mereka semakin mantap untuk meraih emas di Sukan Para ASEAN di Singapura, tahun depan.

Ahmad Amil, 51, yang menyertai acara perseorangan campuran TPB8 semalam, gagal meraih pingat apabila menduduki tempat keempat.

Mohd Khairul, 34, yang mula mencebur diri dalam sukan paralimpik sejak 2006 selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2000 menyebabkan beliau hilang keupayaan berjalan, berkata pencapaian itu menjadi pembakar semangat untuk terus maju dalam sukan berkenaan.

"Saya sangat bersyukur, walaupun sudah tidak boleh berjalan selepas kemalangan, saya sekarang boleh mengharumkan nama negara dengan bersukan," katanya yang pertama kali menyertai Sukan Para Asia.

Acara tenpin boling turut menyumbang satu gangsa kepada negara menerusi gandingan Wong Kee Soon-Abu Bakar Nyot yang melakukan 2,144 jatuhan pin dalam acara beregu campuran TBP9/10 dan TPB9/10.

Son Dae-Ho dan Lee Min-Su dari Korea Selatan meraih emas selepas mencatat 2,325 jatuhan pin manakala perak dimenangi Matias Samuel dan Chi Kim Ian dari Filipina yang melakukan 2,175 jatuhan pin.

"Memang agak kecewa kerana tidak mendapat pingat emas. Pada temasya di Guangzhou (2010), kami menang emas namun nasib tidak menyebelahi kami kali ini," kata Abu Bakar. - BERNAMA

Berita Harian X