Isnin, 22 Februari 2016 | 2:13pm

Anugerah Puskas: Nama Faiz sudah ke FIFA


PEMAIN Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri diasak keras ketua pasukan Kuantan FA, Muhd Ilham Yusof (kanan) yang membuat kecederaan pada pemain Pulau Pinang itu pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Bandaraya. - Foto Rosli Ahmad

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini mengemukakan nama Mohd Faiz Subri kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas 2016.

Dalam surat berkenaan, FAM mencadangkan kepada FIFA supaya jaringan pemain berusia 29 tahun itu menerusi sepakan percuma unik dari jarak kira-kira 32 meter dapat tersenarai sebagai calon anugerah itu.

Pemain Pulau Pinang itu menjaringkan gol berkenaan pada minit ke-62 ketika perlawanan Liga Super 2016 antara Pulau Pinang dan Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari 2016.

FAM turut melampirkan salinan video gol terbabit untuk dinilai oleh FIFA.

"Biarpun mengetahui senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas 2016 itu akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya, FAM berpendapat surat cadangan itu tetap perlu dihantar kepada FIFA sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata, berdasarkan keunikan gol berkenaan, FAM yakin ia akan berjaya tersenarai sebagai satu daripada 10 calon gol tercantik dunia, sekali gus melakar sejarah baharu buat bola sepak Malaysia.

216 dibaca
Berita Harian X