Isnin, 22 Februari 2016 | 10:32am

Pelajar Perlis di Jordan terima sumbangan khas

RAJA Muda Perlis, Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

AMMAN: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberi sumbangan khas bernilai RM4,000 kepada setiap orang pelajar Perlis yang sedang menuntut di Jordan.

Perkara ini dinyatakan Raja Muda Perlis, Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Yang Dipertua MAIPs.

"Sumbangan khas ini bererti setiap pelajar yang menuntut di Jordan akan menerima RM10,000," titah baginda ketika menyampaikan sumbangan itu pada program 'Tautan Ukhwah MAIPs' di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Ibu bapa pelajar akan turut dijemput untuk menerima dermasiswa sumbangan MAIPs di Perlis bernilai RM6,000 bagi setiap pelajar selepas ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Nazim Mohd Noor dan Ketua Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Mega Nopija Khalidi.

Ketika ini, seramai 51 pelajar Perlis menuntut di Universiti Yarmouk, Universiti Jordan, Universiti Mutah dan Universiti Albayt.

Antara mereka, tujuh orang mengambil jurusan perubatan, tujuh orang bidang pergigian, manakala selebihnya dalam pelbagai jurusan lain, termasuk bahasa Arab.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sumbangan khas itu diberikan kerana MAIPs menyedari masalah pelajar khususnya menerusi pembiayaan sendiri, yang menghadapi masalah kewangan.

Sementara itu, baginda yang juga Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) mengumumkan KUIPs merancang untuk mengadakan program berkembar dengan universiti terpilih Jordan yang akan dilaksanakan di cawangan KUIPs di Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X