Ahad, 21 Februari 2016 | 7:30pm
SEMBILAN belas pemancing termasuk jurumudi dan awak awak yang di selamatkan setelah bot mengalami kebocoran dan hayut sebelum di selamatkan oleh bot nelayan selamat tiba dengan menaiki bot Maritim Malaysia di Jeti penumpang Kuala Kedah. - Foto Amran Hamid

Pemancing, kru hanyut selamat tiba di jeti Kuala Kedah


ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laskar Kanan Maritm Zulkarnain Jamahat menunjukkan lokasi bot dinaiki 15 pemancing tempatan yang dikhuatiri karam, 10 batu nautika selatan dari Pulau Payar ketika ditemui di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Kuala Kedah, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA KEDAH: Semua pemancing dan kru yang hilang di laut selepas bot dinaiki mereka mengalami kebocoran sebelum hanyut malam tadi, selamat tiba di terminal jeti Kuala Kedah, dekat sini.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 1, Komander Maritim R Vincent, berkata semua 19 individu termasuk lima kru dibawa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pasukan polis marin dan bot nelayan, selamat tiba pada jam 7 malam tadi.

Ambulans milik Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) turut berada di terminal jeti bagi persiapan memberi bantuan perubatan sekiranya terdapat mangsa yang cedera.

Sebelum ini, semua pemancing itu dikhuatiri hilang di laut apabila bot kelas A yang membawa mereka dilaporkan mengalami kebocoran sebelum hanyut di 19.1 batu nautika dari muara Kuala Kedah, dekat sini, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung keadaan bot itu pada jam kira-kira 10.40 malam tadi.

Sehubungan itu, katanya, APMM menghantar aset membabitkan dua buah bot peronda dan pesawat Agusta Aw139.

Selain itu, pasukan polis marin turut menghantar dua bot bagi menjalankan operasi SAR.

Bot dinaiki pemancing itu ditemui di 32.5 batu nautika dari muara Kuala Kedah dengan jarak bot ditemui dengan lokasi kejadian adalah 17 batu nautika selatan Pulau Payar.

Semua pemancing itu kemudiannya dipindahkan ke bot nelayan terbabit, manakala bot mereka ditunda hingga ke terminal jeti Kuala Kedah.

Berita Harian X