Ahad, 21 Februari 2016 | 5:14pm

BN jangka umum calon PRN-11 Sarawak bulan depan

KUCHING: Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan senarai calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) pada bulan depan.

Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi BN negeri, Tan Sri Adenan Satem berkata semua perkara berbangkit sudah diselesaikan dengan cara baik antara parti komponen.

Adenan berharap, penyelesaian itu akan memuaskan hati semua pihak dan memperkukuhkan semangat penyatuan dalam menghadapi pilihan raya negeri yang semakin hampir.

"BN Sarawak akan mengumumkan senarai pencalonannya bulan depan, itu saya boleh sahkan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Peringkat Negeri 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Bagaimanapun, Adenan enggan mengulas lanjut mengenai beberapa lagi masalah dihadapi antara dua parti komponen BN Sarawak, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dengan parti serpihan masing-masing iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Berita Harian X