Ahad, 21 Februari 2016 | 4:39pm

Perluas budaya inovasi, keusahawanan di universiti - Najib


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) ketika hadir ke Majlis Perasmian Kampus Utama Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kuala Pahang, Pekan. - Foto Farizul Hafiz Awang

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mahu setiap universiti mengaplikasi secara meluas budaya inovasi, keusahawanan dan komunikasi kepada pelajar masing-masing.

Perdana Menteri berkata, elemen sedemikian penting untuk meningkatkan kemampuan pelajar sebagai sumber modal insan berkualiti tinggi pada masa akan datang.

"Kita mahu pastikan pendidikan negara sejajar dengan wawasan transformasi dilaksanakan kerajaan.

"Justeru, keperluan penting ialah pembangunan modal insan, penjenamaan bakat serta penggunaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM)," katanya merasmikan Kampus Utama Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, sebentar tadi.

Najib turut mengumumkan namanya sebagai Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara UMP dan The New Straits Times Press  (M) Berhad  (NSTP) mengenai jaringan kerjasama strategik dalam berkongsi kepakaran menerusi bidang penerbitan, media dan komunikasi.

UMP diwakili Daing Nasir manakala NSTP oleh Pengarang Urusan Kumpulannya, Datuk Abdul Jalil Hamid.

Ia bertujuan meningkatkan hubungan dua hala bagi aktiviti penjenamaan dan Program Khidmat Sosial dan Inovasi (CSI).

Berita Harian X