Ahad, 21 Februari 2016 | 7:00am

Suburkan program membudayakan perpaduan ummah

MENJAYAKAN perpaduan ummah adalah keutamaan setiap Muslim hari ini di Malaysia. Peranan pendakwah adalah teras dalam memandu masyarakat ke arah penghayatan dan pembudayaan pendidikan perpaduan ummah.

Pada Wacana Perpaduan Ummah di Kota Baru, Kelantan baru-baru ini yang dikelolakan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN), sebuah badan khas yang ditubuhkan Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM), dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan, seorang peserta bertanyakan tujuan dan motif usaha perpaduan ummah ini penting dijelmakan di negara ini.

Persoalan ini dijelaskan oleh Pengerusi MDN, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid iaitu kepentingan perpaduan ummah adalah teras kepada keutuhan kekuatan negara dan bangsa Malaysia keseluruhan. Dalam erti kata lain, masa depan kemajuan negara bergantung kepada kekuatan umat Islam sebagai teras di negara ini.

Bela keharmonian

Umat Islam yang berpadu dan sekata dalam aspek pandangan, sikap dan tindakan akan memastikan keharmonian hidup masyarakat terbela serta gerakan bagi pembangunan bangsa dan negara pula terancang secara sempurna. Malah, menerusi perpaduan ummah yang jitu, hak bukan Islam sebagai warganegara di negara ini terus terjamin.

Masyarakat bukan Islam memerlukan satu saf kepemimpinan ummah yang utuh, saksama dan adil bagi membolehkan menjalankan kewajipan dan tanggungjawab kewarganegaraan mereka secara aman dan positif demi kesejahteraan negara yang menyeluruh di masa depan.

Banyak punca membawa kepada perpecahan ummah dilontarkan pada wacana itu. Secara umum, ia berpunca daripada sikap dan penghayatan budaya perpaduan yang rendah dalam kalangan umat Islam. Punca ini tertonjol dalam banyak perbuatan dan tindakan oleh pelbagai pihak sama ada individu, institusi, malah oleh sebahagian elemen penguasa.

Kerendahan penghayatan budaya perpaduan ini disebabkan oleh pelbagai faktor pula. Antaranya ialah kerana sikap sesetengah golongan yang menyukai populariti, pemikiran taksub terhadap kelompok dan kelemahan berpegang kepada ajaran akhlak perpaduan kerana didorong oleh pelbagai desakan kepentingan berbentuk peribadi dan kabilah.

Antara banyak syor menarik yang dilontarkan pada pertemuan itu ialah gesaan kepada satu usaha yang meluas bagi mewujud dan mengembangkan program pendidikan dan pembudayaan perpaduan dalam kalangan ummah. Bagi tujuan itu, peranan pendakwah dalam menjayakan rencana mulia ini amat penting dan mustahak pada masa kini.

Pelbagaikan aktiviti dakwah

Kegiatan dakwah yang berbentuk pertemuan dan dialog antara pelbagai kelompok hendaklah disuburkan. Umat Islam tidak lagi boleh bekerja dalam kerangka kabilah sendiri. Istilah 'ini orang kita' dan 'itu bukan orang kita' yang merujuk kepada pembatasan hubungan berasaskan perbezaan fikrah dan amalan hendaklah dihentikan. Pemikiran mengenai konsep umat Islam sebagai sebuah ummah hendaklah disemarakkan.

Malah, tuntutan lain ialah keperluan untuk kita menggerakkan kempen 'tasamuh' atau bertoleransi kalangan umat Islam seperti menjadi begitu mendesak sekali pada masa kini. Persoalan perbezaan fikrah dan pandangan kalangan umat Islam sama ada dalam hal ehwal keagamaan yang khusus atau dari sudut gagasan berfikir dalam aspek politik, sosial dan ekonomi suatu yang fitrah sejak zaman berzaman lagi.

Kelahiran dan tumbuhnya pelbagai kumpulan atau mazhab dalam sejarah ketamadunan Islam telah diperakui. Keunikan dari segi sifat plural dan dinamik ketamadunan Islam adalah citra terpenting identitinya sejak dahulu lagi. Namun, di sebalik sifat plural dan dinamik itu, perkembangan ilmu dan kebudayaan terus berkembang utuh hingga ke masa kini.

Dalam proses pembudayaan pendidikan perpaduan ummah, semua pihak hendaklah memelihara perlakuan sama ada dalam bentuk ucapan dan tulisan dari mengarah kepada tindakan yang akan membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam. Masyarakat awam hendaklah dipelihara daripada terjebak ke dalam perbahasan dan perbincangan agama yang boleh membawa kepada pertembungan.

Budaya berdebat dalam kalangan sarjana dan pendakwah hendaklah dielakkan. Jalan keluar bagi sebarang pertembungan dan percanggahan pendapat perlu diselesaikan menerusi rundingan yang dipandu oleh semangat silaturahim dan ukhwah Islamiyyah.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Berita Harian X