Sabtu, 20 Februari 2016 | 7:28pm
KESEMUA gajah itu akan dihantar ke kawasan hutan di Tasir Kenyir dengan menaiki lori dan mengambil masa selama lebih lapan jam. - Foto Abnor Hamizam

Gajah liar tarikan baharu di Jelebu


KAKITANGAN Unit Tindakan Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), membawa dua ekor gajah jinak untuk memujuk gajah liar. - Foto Abnor Hamizam

KUALA KLAWANG: Kehadiran tujuh ekor gajah yang ditempatkan di pinggir hutan di tepi jalan berhampiran Kampung Petaseh di sini, menarik perhatian lebih 300 orang dari sekitar daerah Jelebu yang sanggup datang dari jauh untuk melihat haiwan itu.

Mereka teruja menyaksikan sendiri gajah terbabit yang dalam proses dibawa keluar dari Hutan Simpan Triang di sini, untuk dipindahkan ke Tasik Kenyir oleh Unit Tindakan Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Rata-rata mereka memberitahu tidak pernah melihat gajah liar dan mengambil peluang datang bersama kawan dan keluarga, selepas mengetahui gajah terbabit akan ditempatkan sementara di kawasan itu hari ini, sebelum dihantar ke Tasik Kenyir.

Minggu lalu PERHILITAN negeri menangkap lima ekor gajah iaitu tiga gajah betina dewasa dan dua anak gajah betina, yang memusnahkan pokok getah dan sawit penduduk kampung berhampiran Hutan Simpan Kenaboi iaitu kira-kira 60 kilometer dari Hutan Simpan Triang.

Ketua Unit Tindakan Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Nasharudin Othman, berkata unitnya membawa dua ekor gajah jinak untuk memujuk gajah liar terbabit keluar dari hutan sebelum dipindahkan.

"Semua gajah itu akan dihantar ke kawasan hutan di Tasir Kenyir dengan menaiki lori yang mengambil masa selama lebih lapan jam, esok," katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X