Sabtu, 20 Februari 2016 | 4:33pm

Anis Al-Idrus tidak anggap terlewat jadi penyanyi


PELAKON, Anis Al-Idrus. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pelakon Anis Al-Idrus atau Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus tidak menganggap dirinya terlewat untuk mengorak langkah sebagai penyanyi apabila mencuba bidang itu pada usia 28 tahun.

Anis yang muncul bersama single pertama, 'Mengapa' pada hujung tahun lalu menyifatkan, usia bukan halangan untuk mencuba sesuatu yang baharu apatah lagi, nyanyian adalah antara cabang seni yang turut diminatinya sejak kecil.

Apabila ditawarkan kontrak menyertai Music Space Sdn Bhd, seterusnya diberi peluang merakamkan single pertama, Anis tidak menolak kerana peluang keemasan itu tiba tepat pada masanya.

"Tidak sangka, minat berkaraoke akhirnya membawa saya ke dunia rakaman. Mungkin juga kerana minat dan selain berani untuk mencuba, saya menyahut cabaran yang diberikan wakil syarikat rakaman.

Alhamdulillah, biarpun ia percubaan pertama, saya tidak berdepan masalah besar ketika di studio," katanya.

Anis berkata, dia hanya mengambil masa tiga jam untuk merakamkan lagu ciptaan komposer Indonesia, Ully Ramadani manakala lirik dihasilkan Maya Lee.

"Saya bertuah kerana penerbit memberikan saya masa untuk membiasakan diri dengan lagu itu sebelum ke studio merakamkannya. Namun, semuanya seperti dipermudahkan apabila keseluruhan proses berjalan dengan pantas. Saya juga tidak kekok dengan suasana di studio rakaman.

"Saya membawa semangat yang diberikan ayah yang sering mengingatkan, setiap apa yang dilakukan pastikan ia berhasil. Saya berharap lagu ini diterima peminat. Mengapa juga dekat dengan saya, malah sesiapa saja yang pernah berdepan pengalaman cinta tidak kesampaian," katanya.

Bekas kekasih Sharnaaz Ahmad itu bagaimanapun, menafikan Mengapa dihasilkan berdasarkan pengalaman peribadinya yang pernah melalui kekecewaan dalam percintaan.

Mengulas mengenai kerjaya lakonannya, Anis kini kembali aktif menerima semula tawaran selepas enam bulan berehat bagi menguruskan perniagaannya, Anis Al-Idrus Wardrobe.

Antara drama terbaharu lakonannya adalah drama rantaian 65 episod, Uda Dan Dara yang akan menemui penonton di saluran Astro Prima.

Anis yang turut beraksi dalam drama, Duda Terlajak Laris untuk slot Akasia di TV3 berkata, cintanya terhadap lakonan masih mendalam. Disebabkan itu, dia cuba membahagikan masa antara kerjaya sebagai pelakon, penyanyi, pengacara, peragawati dan ahli perniagaan.

"Saya cuba memberikan fokus kepada setiap kerjaya sebaik mungkin. Tidak semua orang diberi kesempatan untuk menikmati semua peluang ini dan saya bertuah kerana diberi Allah rezeki. Apa yang penting, saya perlu bijak membahagikan masa dan melakukan yang terbaik," kata pengacara program Sufiyah ini.

Berita Harian X