Sabtu, 20 Februari 2016 | 4:26pm

Australia runding 6 negara isu pencari suaka


PERDANA Menteri Australia, Malcolm Turnbull. - Foto Reuters

SYDNEY: Australia akan berunding dengan Indonesia, Malaysia dan Filipina, antara enam negara rantau Asia Tenggara untuk menempatkan pencari suaka yang ditahan di Papua New Guinea dan negara kepulauan Pasifik, Nauru, lapor Sydney Morning Herald hari ini.

Jumlah pencari suaka yang cuba sampai ke Australia adalah kecil berbanding mereka yang tiba di Eropah, namun keselamatan sempadan menjadi isu politik utama negara itu.

Negara itu juga dijadual mengadakan pilihan raya kebangsaan pada akhir tahun ini

Rundingan dengan kerajaan tiga negara Asia Tenggara itu memberi tumpuan kepada potensi menyelesaikan isu 1,459 tahanan, yang sebahagiannya tiba semasa pentadbiran sebelumnya, kata akhbar itu.

Tambahnya, tiga negara lain turut menyertai peringkat rundingan awal itu, tetapi tidak disebutkan.

Jurucakap Perdana Menteri Malcolm Turnbull enggan mengulas lanjut laporan itu.

Dasar imigresen ketat Australia memperuntukkan bahawa sesiapa yang dipintas ketika cuba masuk ke negara ini dengan bot akan dihantar untuk pemprosesan di kem di Nauru dan Pulau Manus dekat Papua New Guinea.

Mereka tidak pernah layak untuk ditempatkan semula di Australia. - Reuters

Berita Harian X