Sabtu, 20 Februari 2016 | 12:36am

Kurdis Syria guna senjata AS serang orang awam - Turki


GAMBAR disedikan oleh Pejabat Media Presiden Turki pada 17 Februari 2016 memaparkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bercakap mengenai pelbagai topik semasa mesyuarat dengan wakil-wakil pihak berkuasa tempatan di Istana Presiden, Ankara, Turki. - Foto EPA

ISTANBUL: Presiden Turki Tayyip Recep Erdogan berkata senjata dibekalkan Amerika Syarikat (AS) digunakan ke atas orang awam oleh kumpulan militia Kurdis Syria yang dituduh melakukan pengeboman Rabu lalu.

Sokongan AS ke atas militia PYD Kurdis Syria yang dianggap Washington sekutu berguna dalam perjuangan menentang militan IS, menaikkan kemarahan Turki serta berisiko melebarkan jurang antara sekutu NATO itu.

Turki menganggap kumpulan itu sebagai organisasi pengganas yang ada kaitan dengan militan Kurdis yang melancarkan pemberontakan.

Erdogan dan kerajaan Turki berkata, YPG, sayap bersenjata PYD, bertanggungjawab ke atas serangan bom kereta di tengah ibu kota Ankara pada Rabu lalu yang mengorbankan 28 orang, kebanyakannya askar.

Erdogan berkata, beliau kesal dengan keengganan Barat menggelar PYD dan YPG pengganas dan menjelaskan kepada Presiden Barack Obama menerusi perbualan telefon bagaimana senjata disediakan AS membantu mereka.

"Saya akan memaklumkan beliau (Obama) bagaimana dan di mana senjata yang mereka sediakan itu digunakan.

"Beberapa bulan lalu dalam pertemuan kami, saya memaklumkan AS membekalkan senjata. Tiga pesawat sarat dengan senjata tiba, separuh daripadanya berakhir di tangan Daesh (IS) dan separuh lagi di tangan PYD," katanya. - Reuters

Berita Harian X