Sabtu, 20 Februari 2016 | 12:05am
ADIRA memekakkan telinga terhadap cemuhan dan meneruskan hidupnya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PENYANYI, Adira. - Foto Aziah Azmee
ADIRA gembira dengan kehadiran anak tiri dan terima tanggungjawab pada usia muda.- Foto Nik Hariff Hassan

Adira bahagia bermadu


Kemanisan meniti hidup berumah tangga jelas terpancar di wajah penyanyi, Adira Suhaimi, 25, ketika berkongsi cerita mengenai keindahan melayari alam perkahwinan bersama suami tercinta, Datuk Seri Adnan Abu, 38.

Biarpun membawa status sebagai isteri kedua, penyanyi kelahiran Sabah itu tidak kekok menggalas tanggungjawab baharu itu. Adira menyifatkan, kehidupannya semakin bermakna apabila tiga anak tirinya turut sentiasa menemaninya dan suami sekali gus mengujinya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu.

Adira bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga yang besar dan mempunyai ramai adik-beradik. Pengalaman yang dilaluinya itu sedikit sebanyak membantu Adira untuk lebih yakin menjalankan tanggungjawab berat itu pada usia muda.

Tidak mengeluh dengan takdir yang tertulis, Adira mengakui dirinya reda menerima setiap ketentuan Allah SWT. Meskipun masih menerima cemuhan dan dikeji dengan pelbagai kata negatif, Adira memilih untuk 'memekakkan' telinga dan mengunci mulut.

Baginya, tiada guna menepis segala tohmahan kerana masyarakat akan terus menuding jari dan menuduhnya sebagai perampas kebahagiaan orang lain. Adira mengakui, dirinya juga sudah lali dengan perkataan 'perampas' sejak berita pernikahannya diketahui umum.

Laman sosial, Instagram miliknya bertalu-talu menerima kecaman daripada orang ramai dan hingga kini, penyanyi lagu Ilusi itu terus dihambur pelbagai perkataan yang mengguris perasaan.


PENYANYI, Adira pada pusingan separuh akhir Muzik-Muzik 30 di Plaza Alam Sentral. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Alhamdulillah, kehidupan saya lebih tenang berbanding dulu apatah lagi, sudah mempunyai teman hidup selain anak-anak tiri yang sentiasa di sisi. Kehadiran mereka melengkapi hidup ini, malah membuatkan saya lebih gembira.

"Saya tahu, di luar sana masih ramai yang melemparkan pelbagai kata hinaan hanya kerana saya menjadi isteri kedua. Terserah kepada mereka kerana saya ajar diri supaya tidak ambil pusing terhadap segala cacian yang dilemparkan. Semua itu hanya mengganggu emosi dan keharmonian rumah tangga.

"Saya memilih untuk tidak membaca segala tohmahan yang dilemparkan di sosial media. Lebih baik begitu kerana saya mahu menjalani kehidupan dengan tenang," katanya kepada BH PLUS.

Naib juara Akademi Fantasia 2010 itu juga berkata, keputusan untuk mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand kurang sebulan selepas mengenali Adnan adalah perkara terbaik yang pernah dilakukannya.

Tegas Adira, keputusan untuk berkahwin pada usia muda selain berkorban perasaan apabila terpaksa berkongsi kasih dengan wanita lain dilakukannya bukan kerana ingin mengejar kemewahan. Adira sebaliknya menganggap, semua itu sebagai jodoh yang sudah diatur Tuhan.


Adira. - Foto Aziah Azmee

"Apa juga pandangan orang ramai, saya bersedia menghadapinya kerana perkahwinan itu adalah jalan yang saya pilih. Saya hanya ambil apa yang baik sebagai panduan, manakala komen negatif saya abaikan kerana tidak mahu ia mengganggu kebahagiaan kami.

"Sebagai isteri, saya cuba untuk menunaikan tanggungjawab terhadap suami dan rumah tangga dengan baik. Rutin harian saya sama seperti wanita lain yang berumah tangga dan Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar," katanya.

Berita mengenai perkahwinan Adira mula tersebar selepas madunya yang dikenali sebagai Datin Red membuat pendedahan di ruangan komen gambar di Facebook milik penyanyi itu dengan menulis bahawa dia dan Adira berkongsi suami.

Dalam pada itu, Adira secara ringkas turut berkongsi mengenai hubungannya dengan madunya. Adira berkata, hubungan mereka baik namun memilih untuk tidak mengulas panjang bagi menjaga hati pihak yang terbabit.


Adira dengan gaya tersendirinya ketika menghadiri majlis sidang media Festival Kesenian Orang Asli & Pribumi Antarabangsa 2015, Ampang. - Foto Nik Hariff Hassan

"Saya sedar kedudukan sebagai isteri kedua dan perlu menghormati perasaan pihak sebelah sana. Banyak hati yang saya perlu jaga, jadi saya berharap isu ini tidak diperbesarkan lagi. Apa yang mampu saya katakan, hubungan saya dan madu tiada masalah kerana kami saling memahami antara satu sama lain.

"Setiap apa juga keputusan, saya perlu mengutamakan hati dan perasaan isteri pertama suami. Saya bersedia mengalah kerana akur, saya menumpang kebahagiaan mereka," katanya.

Sementara itu, berbicara mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya, penyanyi berkulit putih itu memberitahu, beliau baru selesai menjalani penggambaran muzik video lagu duet bersama penyanyi kelahiran Singapura, Taufik Batisah.

"Saya diberi peluang oleh pengurusan untuk menyanyikan lagu tema filem, Soulmate arahan Profesor Datuk A Razak Mohaideen. Selain Taufik, filem itu turut membariskan Raja Ilya, Erra Fazira dan Nad Zainal selaku teraju.

"Semestinya saya berbangga kerana julung kalinya diberikan kepercayaan untuk menyanyikan lagu duet bersama penyanyi seberang yang menjadi kegilaan wanita," katanya.

Berita Harian X