Sabtu, 20 Februari 2016 | 12:01am
Kuih paukes turut dijual di kios Apam Seri Menanti.

Kacang lebih, jagung meleleh


Apam coklat

APAM balik adalah antara makanan tradisi berasaskan tepung yang dibakar dalam acuan khas dengan lapisan mentega.

Ia kemudian ditabur dengan inti kacang tanah, gula dan jagung sebelum dilipat.

Kuih ini mempunyai banyak nama, seperti apom balik, martabak manis, terang bulan, apam Pulau Pinang, kuih haji, kue bandung, ban jian kuih, chin loong pau dan min chiang kueh.

Sejarah apam balik berasal dari Belanda. Ketika itu pegawai Belanda di Indonesia menjual makanan ini yang ketika dikenali sebagai 'lekker' di Bali.

Lekker dalam bahasa Belanda bermaksud enak dan makanan ini dicampur pelbagai isian seperti susu, coklat, kacang atau jagung.

Makanan ini kemudian tersebar ke Malaysia, Singapura dan Brunei menerusi penghijrahan penduduk Indonesia ke kepulauan Nusantara.

Pada awal tahun 70-an hingga 80-an, orang ramai boleh membeli apam balik apabila penjualnya mengayuh basikal dari rumah ke rumah dan memasak di hadapan pembeli.

Hari ini apam balik dijual sama ada di pasar malam, gerai pacak atau menggunakan basikal roda tiga di tepi jalan. Peniaga kuih ini boleh menyediakan kuih ini dalam jumlah yang banyak dengan lapan hingga 12 acuan serentak.

Jika dulu, kita hanya menikmati apam balik tradisional satu perisa, tetapi kini dengan inovasi pembuat atau peniaga, bukanlah satu yang menghairankan kalau terdapat pelbagai rasa menjadikan pembeli banyak pilihan.


Aroma menyelerakan ketika menunggu Apam Balik Menanti disediakan.

Antara pengusaha makanan ini ialah Mohd Asri Dahali yang memiliki kiosk dikenali Apam Balik Menanti dengan menyediakan apam balik pelbagai rasa seperti coklat, strawberi, vanila dan keju.

Cukup menyelerakan apabila aromanya terhidu sebaik saja apam balik itu dimasak.

Mohd Asri berkata, dia bersama tiga rakannya, Mohamad Nizam Ibahim, Nor Aziruddin Muhammad dan Mohamad Masri terpanggil untuk memberi nafas baharu kepada pembikin apam balik.

"Sebagai pembuat apam balik selama lebih 25 tahun, saya teruja untuk menaikkan taraf kuih ini.

"Selain boleh membeli di kiosk, Apam Balik Menanti boleh dipesan menerusi talian, terutama penduduk sekitar. Tapi mereka kena datang, ambil sendiri apam balik yang dipesannya," katanya.

Sesuai dengan kesabaran pelanggan

Mohd Asri berkata, terdapat lima jenis apam balik di jual di Kiosk Apam Balik Menanti iaitu apam balik biasa, istimewa, coklat, coklat keju dan daging keju dengan setiap satu harganya berbeza.

Apam balik biasa mengandungi inti kacang, jagung dan gula, manakala yang istimewa pula intinya sama tetapi jumlahnya lebih banyak.

"Kami menggunakan slogan "Kacang Lebih, Jagung Meleleh" untuk Apam Balik Menanti," katanya.


Apam daging keju

Harga antara RM2.50 hingga RM4.30

Apam balik biasa dijual dengan harga RM2.50 sekeping, Istimewa (RM3), coklat (RM3.50), coklat keju (RM3.50) dan daging keju (RM4.50).

Katanya, selain apam balik, mereka turut membuat kuih seri paukes yang popular di utara Semenanjung.

Apam Balik Menanti beroperasi dari Isnin hingga Sabtu bermula jam 11.30 pagi hingga 6.30 petang.

Terdapat di tiga cawangan

Apam Balik Menanti memiliki tiga cawangan iaitu di Paroi Jaya, Taman Jasmin di Senawang dan Pasaraya Ong Tai Kim di Sentul, Kuala Lumpur.

Mohd Asri berkata, nama Apam Balik Menanti diambil sempena dengan Bandar Seri Menanti di Negeri Sembilan.

"Berinspirasi Seri Menanti iaitu ikon kepada Negeri Sembilan, nama itu dipersetujui semua rakan kongsi.

"Ini bersesuaian dengan kesabaran pelanggan yang terpaksa 'menanti' untuk menunggu apam balik siap dimasak," katanya.

Berita Harian X