Jumaat, 19 Februari 2016 | 3:29pm

Kos operasi bersih bauksit ditanggung pelombong


KETUA Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohd Nor Ibrahim. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

KUANTAN: Kos pembersihan dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang di kawasan terjejas oleh perlombongan bauksit ditanggung oleh pihak pelombong.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohd Nor Ibrahim, berkata perkara itu dipersetujui oleh pihak pelombong pada mesyuarat bersama-sama agensi kerajaan yang terbabit dalam operasi berkenaan.

"Untuk Jabatan Bomba sebanyak RM63,470 digunakan bagi kerja pembersihan sepanjang 84 kilometer yang membabitkan 170 anggota berkenaan.

"Kos ini membabitkan minyak, air, makan minum anggota, peralatan dan sebagainya," katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang kepada 73 penerima serta 10 anggota lagi menerima sijil perkhidmatan 30 Tahun.

Operasi pembersihan kawasan yang terjejas akibat perlombongan bauksit bermula 14 Januari hingga 13 Februari lalu, selaras dengan arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Turut terbabit dalam operasi itu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Alam Flora Sdn Bhd dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang membabitkan kerja pembersihan papan tanda, papan tunjuk arah, tiang lampu dan termasuk pencucian permukaan jalan.

Secara keseluruhan operasi pembersihan jalan raya terjejas teruk adalah di Jalan Kuantan-Pelabuhan, Jalan Bukit Goh, Jalan Bukit Kuantan, Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan Bypass, Jalan Gebeng Bypass, Jalan Jerangau-Jabor dan Jalan Bukit Sagu-Cherul.

Mohd Nor berkata berdasarkan laporan yang diterima, operasi pembersihan yang dilakukan itu mendapat penghargaan daripada orang ramai serta pemimpin setempat.

Beliau turut melakukan tinjauan di sekitar kawasan pembersihan bauksit di beberapa lokasi sekitar Bukit Goh di sini, semalam. - BERNAMA

Berita Harian X