Jumaat, 19 Februari 2016 | 12:30pm

Mayat lelaki dekat Tesco


ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa di sungai Kelantan berhampiran Tesco, di sini.

KOTA BHARU: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan terapung dipercayai lemas di Sungai Kelantan berhampiran jambatan Sultan Yahya Petra, berdekatan pasar raya Tesco, di sini pagi tadi.

Mangsa berusia 40-an ditemui sepasukan anggota bomba dan penyelamat dalam keadaan tidak berpakaian kira-kira jam 7.20 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said, berkata pihaknya mendapat panggilan daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki lemas jam 6.47 pagi.

Katanya, 11 anggota termasuk lima dari unit SCUBA dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik pasukan bomba tiba di lokasi, kita melihat mayat sudah terapung dan kita mengeluarkan mangsa kira-kira jam 7.20 pagi.

"Mayat itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, " katanya ketika dihubungi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu, ketika dihubungi memaklumkan sehingga kini identiti mangsa belum dikenal pasti.

Katanya, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan dan saksi kejadian sempat melihat mangsa sedang mengharung air sebelum tenggelam.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat, " katanya.

Berita Harian X