Khamis, 18 Februari 2016 | 9:58pm

Militia Kurdis Syria dalang serangan di Ankara - Turki


PERDANA Menteri Turki, Ahmet Davutoglu (dua dari kiri), ditemani Menteri Kesihatan, Minister Mehmet Muezzinoglu (kanan), melawat mangsa serangan bom kereta di hospital di Ankara, Turki. - Foto REUTERS

ANKARA: Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berikrar menjejaki kumpulan rakyat Syria yang dipercayai ada kaitan dengan militia Kurdis Syria kerana menyebabkan kematian 28 orang dan mencederakan 61 lain dalam kejadian serangan bom kereta di sini, semalam.

Davutoglu berkata, lelaki Syria dikenali sebagai Sahih Neccar itu melakukan serangan dengan kerjasama kumpulan pemberontak Kurdis Turki.

Susulan itu, pihak berkuasa menahan sembilan orang yang ada kaitan serangan dan berusaha mengenal pasti yang lain.

Tentera Turki kemudian mendakwa melakukan serbuan menggunakan jet pejuang merentasi sempadan ke atas tempat persembunyian pemberontak di utara Iraq, beberapa jam selepas ibu kota ini diserang.

Serbuan itu membabitkan 60 hingga 70 orang pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

"Pihak kami yakin serangan dilakukan kumpulan pemberontak YPG yang menyelinap masuk dari Syria," kata Davutoglu merujuk PKK dan kumpulan militia Kurdis Syria, Unit Perlindungan Rakyat.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang mengorbankan anggota tentera dan orang awam, walaupun pihak berkuasa mengesyaki ia dilakukan PKK atau militan IS.

Pemimpin Kumpulan Utama Kurdis Syria, Salih Muslim, menafikan kumpulannya menjadi dalang di sebalik serangan di ibu kota ini dan memberi amaran kepada Turki supaya tidak melakukan serangan.

Letupan bom kereta berlaku lewat semalam, ketika waktu puncak di ibu negara ini berhampiran bas membawa anggota tentera yang berhenti di lampu isyarat.

Kawasan itu dikatakan berhampiran ibu pejabat Parlimen dan penginapan angkatan tentera dalam serangan bom kedua sepanjang empat bulan.

Davutoglu menyalahkan kerajaan Syria yang menyokong YPG selain menggesa sekutu Turki menghentikan sokongan terhadap kumpulan itu. - AFP

Berita Harian X