Khamis, 18 Februari 2016 | 5:10pm

ASNB anjur program perancangan kewangan, pelaburan berhemah

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat Permodalan Nasional Bhd, hari ini menganjurkan program Santai Labur PNB untuk membincangkan perancangan kewangan dan pelaburan berhemah.

Program kali pertama itu membabitkan pemenang peraduan "#ASNBdanSaya" yang diadakan pada 29 Disember 2015 hingga 10 Januari 2016 yang mengambil konsep "Suka & Menang" di Facebook ASNB.

Pemenang menerima tiket eksklusif ke program Santai Labur PNB, di samping RM200 tiap seorang -- RM100 tunai dan RM100 dalam unit ASNB.

Ketika program itu, Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin, membincangkan kepentingan perancangan kewangan, tip pelaburan serta pelbagai perkhidmatan berkaitan yang disediakan ASNB.

Beliau juga mencadangkan pemegang unit saham supaya berdisiplin dan melabur semula dividen mereka dalam semua produk diperkenalkan PNB, termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN), bagi mendapat faedah daripada kesan penggandaan.

Baru-baru ini, PNB mengumumkan agihan pendapatan 7.25 sen seunit untuk ASB dan bonus 0.5 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Untuk ASN, PNB mengumumkan pengagihan pendapatan 6.10 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 berbanding 6.45 sen seunit diumumkan pada 2014. - BERNAMA

Berita Harian X