Khamis, 18 Februari 2016 | 2:33pm
CYCLE & Carriage Bintang Bhd (CCB)

CCB sediakan RM30j naik taraf 6 Autohauses

PETALING JAYA: Cycle & Carriage Bintang Bhd (CCB), pengedar kenderaan mewah Mercedes-Benz yakin dapat mengekalkan prestasi jualan tahun lalu walaupun persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wong Kin Foo, berkata ini berikutan pihaknya mempunyai produk hebat yang disokong oleh asas kukuh.

"Ini adalah bagaimana kita mengurus dan mengatasi cabaran di pasaran. Saya berpendapat menangani cabaran terutamanya adalah dengan pelancaran (model) baharu dan menaik taraf kemudahan adalah sangat penting.

"Pelanggan akan berasa selesa apabila datang ke premis baharu yang mempunyai kemudahan dan peralatan baharu," katanya pada majlis pelancaran Cycle & Carriage Bintang Petaling Jaya (CCB PJ) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner dan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpang Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine.

Mengulas lanjut, Kin Foo berkata, syarikat akan melabur lagi sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf enam CCB Autohauses dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memberi pengalaman luar biasa kepada pelanggannya.

"Enam Autohauses ini ialah di Alor Setar, Kedah; Bukit Tengah dan Juru, Pulau Pinang; Ipoh, Perak; Mutiara Damansara, Selangor dan Johor Bahru di Johor," katanya.

CCB mempunyai kehadiran di 11 lokasi di seluruh negara ketika ini dengan tujuh Autohauses, dua (1S) dan dua (2S).

Berita Harian X