Isnin, 20 Oktober 2014 | 10:49am

27 sen sesaham atau kosong untuk pemegang saham minoriti MAS

KUALA LUMPUR: Pemegang saham minoriti Penerbangan Malaysian (MAS) mungkin tidak memperoleh apa-apa jika mereka menolak tawaran 27 sen sesaham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadual pada 6 November ini, kata pakar ekonomi.

Dekan Fakulti Perniagaan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Dr Yeah Kim Leng, berkata pemegang saham minoriti MAS wajar menerima tawaran itu walaupun sukar kerana sekurang-kurangnya mereka mendapat semula sebahagian daripada pelaburan itu.

Syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional Bhd pada 29 Ogos telah mengumumkan satu pelan yang radikal untuk memulihkan MAS yang memerlukan pengurangan kakitangan, suntikan modal hingga RM6 bilion dan penubuhan sebuah syarikat baharu (NewCo) untuk melaksanakan perniagaan syarikat penerbangan itu.

Selain itu, Khazanah menawarkan 27 sen sesaham kepada pemegang saham minoriti dan selepas memperoleh kelulusan pemegang saham, MAS akan dikeluarkan daripada senaraian Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula yang bertujuan mengembalikan keuntungan syarikat penerbangan negara itu dalam tempoh tiga tahun menjadi syarikat persendirian.

Dr Yeah berkata jika MAS menjadi entiti swasta sekarang, pemegang saham minoriti sedia ada akan kehilangan semua pelaburan mereka.

"Mereka akan memperoleh nilai sifar daripada pelaburan mereka. Mujurlah, Khazanah campur tangan sekurang-kurangnya jalan keluar itu dianggap munasabah dengan keadaan semasa di MAS.

"Justeru, tawaran 27 sen itu tidak perlu dilihat sebagai terlalu rendah kerana sekurang-kurangnya suntikan modal dan diambil alih oleh Khazanah, mereka akan mendapat semula sebahagian daripada pelaburan mereka," katanya.

Bersandar kepada hakikat bahawa tiada wira lain yang muncul dan mampu untuk menyelamatkan MAS, tiada asas yang kukuh bagi pemengang saham minoriti untuk menolak tawaran itu.

Sudah tentu, mereka boleh tawar-menawar bagi nilai yang lebih tinggi tetapi berdasarkan masalah dihadapi MAS, sukar untuk mendapatkan nilai yang lebih tinggi bagi saham mereka.

Setuju dengan pendapat Dr Yeah, bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat berkata pemegang saham minoriti sebenarnya tidak mempunyai pilihan kecuali menerima tawaran itu.

"Apabila syarikat dikeluarkan penyenaraian, apa pilihan yang kita ada? Anda perlu menerimanya," katanya sambil menambah jika MAS gagal dan tanpa bantuan daripada Khazanah, pemegang saham minoriti tidak akan mendapat apa-apa.

MAS dalam pekelilingnya bertarikh 15 Oktober lalu menggesa pemegang saham minoritinya untuk menerima harga tawaran 27 sen oleh Khazanah untuk penswastaan syarikat penerbangan itu bagi memberi laluan kepada pelan pemulihannya.

Pelan pemulihan komprehensif MAS yang diumumkan Khazanah pada 29 Ogos adalah bergantung kepada penerimaan penswastaan MAS bernilai RM1.4 bilion.

Syarikat penerbangan negara, yang menanggung kerugian sejak tiga tahun berturut-turut, menghadapi tekanan besar untuk meningkatkan prestasi kewangannya. Dua tragedi MH370 dan MH17 telah menjadikan proses pemulihan lebih sukar.

Berdasarkan persekitaran yang mencabar dalam sektor penerbangan, prestasi kewangan MAS dijangka terus lemah.

Dalam pekelilingnya kepada pemegang saham, yang akan bermesyuarat pada 6 November ini, MAS memberi penekanan bahawa ia perlu melaksanakan penstrukturan semula yang komprehensif dengan segera untuk menangani keadaan perniagaan yang kurang baik, justeru syarikat penerbangan negara memerlukan pembiayaan untuk mengekalkan perniagaannya.

MAS dikatakan membelanjakan RM4 juta sehari untuk memastikan operasinya terus berjalan.

Jika MAS terus menanggung kerugian besar, ditambah dengan pengurangan simpanan tunai, tanpa sebarang bantuan kewangan mungkin akan terus memburukkan keadaan kewangannya dan membawa kepada Syarat-Syarat Penyenaraian PN17. - BERNAMA

Berita Harian X