Khamis, 18 Februari 2016 | 12:21pm

Raja Izzuddin gagal cabar pelucutan gelaran

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Raja Datuk Seri Izzuddin Iskandar Shah ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah bagi kebenaran untuk semakan kehakiman berhubung pelucutan sebagai Raja Kechil Besar Perak.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, ketika ditemui berkata, Hakim Datuk Hanipah Farikullah menolak permohonan Raja Izzuddin selepas membenarkan bantahan awal Peguam Negara yang dinamakan sebagai responden.

Shamsul berkata, hakim berpuas hati dan menerima hujahan bantahan awal pihaknya bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak bertindak atas kapasiti peribadi berhubung pelucutan gelaran itu.

Sebaliknya, baginda hanya menggunakan kuasa mutlak mengikut Perkara 37 Undang-Undang Negeri Perak (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan).

Shamsul berkata, kuasa Sultan Perak, Raja Nazrin Shah itu tidak boleh disemak atau dicabar.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Raja Izzuddin memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara tidak membenarkannya memulakan tuntutan di Mahkamah Khas berhubung pelucutan gelarannya.

Mengikut pernyataan tuntutan, Raja Izzuddin memohon perintah membatalkan dan mengetepikan keputusan Peguam Negara dalam tuntutan berhubung Penyerahan Hak dan Kedudukan Kekananan Raja-Raja Bergelar Kerajaan Negeri Perak, terhadap Sultan Perak, Raja Nazrin Shah.

Raja Izzuddin berkata, permohonan itu selaras Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan dan beliau adalah pewaris takhta Perak yang sah mengikut Fasal VII (1), Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Perak (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan).

Beliau berkata, gelaran dan haknya sebagai pewaris takhta dilucutkan selepas diisytiharkan bankrap pada tahun 2006, bagaimanapun sudah dibebaskan daripada status itu pada 19 Disember 2014.

286 dibaca
Berita Harian X