Khamis, 18 Februari 2016 | 12:03am
SUTUNG Umar RS atau nama sebenarnya Wan Omar Wan Ahmad. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Anak Kelantan ubah kehidupan


PENGARANG dan editor, Sutung Umar Rs. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

BUKAN semua pembaca gemar disogokkan dengan genre sejarah, apatah lagi autobiografi.

Namun, Meski Jauh Membatasi Bumi karya Sutung Umar Rs, sepatutnya dibaca oleh sesiapa saja, khususnya penulis dan wartawan yang ingin melihat bagaimana orang Melayu Kelantan dekad 1970-an berusaha keras untuk mengubah kehidupan mereka.

Sutung Umar Rs dikenali sebagai pengarang dan editor yang hebat. Ketika bertugas di Dewan Sastera (DS) dan BH, beliau mencungkil banyak bakat penulisan yang kini menjadi nama besar dunia penulisan.

Bagaimanapun dalam Meski Jauh Membatasi Bumi, hal itu tidak disebutkan, sebaliknya naskhah yang boleh disifatkan sebagai semi-autobiografi ini merakamkan jalur perjalanannya sebagai anak kampung yang miskin dan kemudiannya berjaya meletakkan namanya dalam ranah sastera tanah air.

Naskhah setebal 386 halaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini ditulis dari sudut pandangan beliau sebagai narator yang ditujukan kepada bondanya yang meninggal dunia pada tahun 1973.


NOVEL Meski Jauh Membatasi Bumi. - Foto NSTP

Jujur, galas tugas bapa

Sutung Umar Rs diketahui sangat jujur dalam penulisannya dan itulah yang disampaikan dalam naskhah ini.

Beliau memulakan kisah mengenai zaman kecilnya di kampung yang akhirnya menyaksikan ibunya meninggal dunia pada usia yang muda, sekali gus meninggalkan anak paling kecil berusia empat tahun.

Kemudiannya apabila bapanya berkahwin lain, Sutung Umar Rs selaku anak sulung bersama adik perempuannya menggalas tanggung jawab membesarkan adik-adiknya yang masih kecil.

Kegigihan beliau terlihat termasuk sikap beliau sangat mengambil berat mengenai adik-adiknya yang ketika itu bergantung harap kepadanya.

Dalam keadaan hidup yang miskin, semangat juang beliau dan adik-beradiknya untuk belajar serta mengubah kehidupan mereka sangat tinggi.


DARI kiri: Penulis Novel, Meski Jauh Dibatasi Bumi, Sutung Umar RS, Dinsman dan Ainunl Muaiyanah pada Borak Buku Meski Jauh Dibatasi Bumi di Rumah Pena.- Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Wajar perincikan pengalaman

Justeru pada akhir cerita, apabila beliau memberitahu ibunya mengenai kejayaan atau kejatuhan setiap daripada seorang adik-beradiknya, kelihatan beliau lega kerana berjaya menunaikan tanggungjawabnya sebagai abang.

Naskhah ini sangat baik jika editor yang menanganinya lebih teliti mengenai kesilapan ejaan yang terlalu mudah dikesan dalam naskhah ini.

Sementara ia akan menjadi lebih baik seandainya kisah ini dapat diperincikan lagi terutamanya pengalaman ketika bertugas di DBP dan pembabitannya dalam program penataran bakat, selain pengalamannya sebagai editor di BH.

Ia pasti mampu menjadi rujukan generasi akan datang berhubung perkembangan sastera kebangsaan atau mungkin Sutung Umar Rs akan muncul dengan buku berkaitan hal itu, siapa tahu?

PROFIL:

Sutung Umar RS atau nama sebenarnya Wan Omar Wan Ahmad pernah berkhidmat sebagai guru dan editor buku di Penerbitan Adabi, sebelum berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Pembantu Penyelidik dan Editor Dewan Sastera (DS) dan Ketua Bahagian Majalah DBP sebelum menjawat jawatan sebagai Ketua Unit Pengembangan Sastera dan Budaya BH sehingga bersara pada tahun 2003.

Genre penulisannya meliputi puisi, cerpen, esei dan novel antaranya Di Negeri Kalbu, Anggerik Dari Bukit Tujuh, Kumpulan Puisi Ratib Kalbu, Dia dan Nya serta Taburkan Bunga. Beliau turut menulis dalam genre bukan fiksyen menerusi Sikap dan Pemikiran Usman Awang dan Mak Yong Warisan Mistik Malaysia.

INFO: Meski Jauh Membatasi Bumi

  • Penulis: Sutung Umar Rs
  • Halaman: 386
  • Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
  • Penilaian: ****
  • Berita Harian X