Ahad, 19 Oktober 2014 | 11:19pm
ATLET paralimpik negara, Siti Noor Radiah Ismail ketika beraksi dalam acara lompat jauh wanita kategori T20 di Kejohanan Sukan Para Asia 2014 di Asiad Main Stadium di Incheon, hari ini. - Foto BERNAMA

Noor Radiah sumbang emas pertama Malaysia


ATLET paralimpik negara, Siti Noor Radiah Ismail memberikan senyuman bersama pingat emas pertama untuk negara dalam acara lompat jauh wanita kategori T20 di Kejohanan Sukan Para Asia 2014, di Asiad Main Stadium di Incheon, hari ini. - Foto BERNAMA

INCHEON: Atlet olahraga negara, Siti Noor Radiah Ismail menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Para Asia 2014 menerusi acara lompat jauh wanita T20 di Stadium Utama Asiad di sini, hari ini.

Siti Noor Radiah bersaing hebat dengan rakan senegara, Siti Nooriasah Mohamad Ariffin sebelum merangkul emas dengan lompatan sejauh 5.10 meter.

Siti Nooriasah pula menyumbang pingat perak dengan perbezaan jarak 0.05m.

Olahraga juga turut menyumbang emas kedua negara menerusi atlet lelaki, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru dengan balingan 15.31m.

Bagaimanapun, balingan itu hanya 0.01m tersasar daripada rekod peribadi yang diciptanya pada Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis, tahun lalu.

"Walaupun tidak melepasi rekod peribadi, namun tetap bersyukur dengan kejayaan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.

Katanya beliau mahu melakukan persediaan secukupnya untuk bersaing di Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2015 di Doha, Qatar, dan meletakkan sasaran peribadi pingat emas bagi temasya Sukan Paralimpik Rio pada 2016.

Dalam pada itu, ketua jurulatih lompat jauh negara, R Jeganathan melahirkan rasa gembira apabila kedua-dua anak didiknya, Siti Noor Radiah dan Siti Nooriasah, berjaya menambah pungutan pingat buat kontinjen negara.

"Memang saya sasar Siti Noor Radiah akan menang acara ini kerana semasa latihan pun dia sudah tunjukkan kelebihannya manakala Nooriasah yang baru sahaja sertai kita selepas hampir enam tahun berehat juga dapat pingat perak, ini memang satu kejutan.

"Bagi saya Radiah masih muda, kita boleh didik dia untuk jadi juara dunia suatu hari nanti. Sekarang ini saya mahu berikan persediaan rapi kepadanya supaya dia layak ke Sukan Paralimpik 2016," katanya.

Selepas hari kedua temasya itu, Malaysia berjaya mengumpul dua pingat emas, tiga perak dan lima gangsa. - BERNAMA

21 dibaca
Berita Harian X