Rabu, 17 Februari 2016 | 8:00pm

Yatt tamat zaman janda 27 Februari ini


Yatt dan bakal suaminya, Zulfadhli

KUALA LUMPUR: Tidak sampai tujuh bulan menjanda, Yatt atau Haryati Hamzah, 36, akan kembali bergelar isteri pada 27 Februari ini.

Pelakon berkenaan akan disatukan dengan juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26, sekitar jam 8 pagi di sebuah masjid di Shah Alam.

Yatt memberitahu tiada majlis persandingan, sebaliknya hanya jamuan makan pada tengah hari yang sama, bersempena sambutan ulang tahun hari lahir keenam anak tunggalnya, Suci Hanania Malika.

Beliau turut menafikan Zulfadhli menjadi punca perpisahannya dengan bekas suami, Abdul Mutalib Abdul Shukor.

Yatt dan Abdul Mutalib, 36, bernikah pada 29 Mac 2009 dan berpisah pada Ogos tahun lalu.

"Kita tidak tahu jodoh yang akan ditentukan Tuhan. Ia sudah tertulis di Luh Mahfuz. Saya pula berasakan tiada masalah untuk berkahwin lagi kerana edah pun sudah habis. Ini satu rahmat dan rezeki daripada Tuhan.

"Saya sendiri tidak berniat untuk berselindung, malah berterus terang mengenai hari bahagia ini yang diharap dapat diraikan bersama keluarga dan teman tersayang.

"Saya dan bakal suami sudah lama mengenali, tetapi selama ini sebagai sahabat dan rakan sekerja. Kami cuma rapat selepas saya berpisah dengan bekas suami, serta pemergian bapa saya pada 15 November lalu.

"Talib (Abdul Mutalib) pun mengenalinya ketika kami sama-sama menyertai misi kemanusiaan ke Syria, sekitar Februari tahun lalu. Ingin saya tekankan di sini, beliau bukan punca perceraian saya dengan bekas suami," kata Yatt kepada BH Online.

Yatt memaklumkan, beliau turut mengundang bekas suami ke majlis pernikahannya nanti. Malah, katanya, Suci juga menerima bakal suaminya dengan baik.

"Saya harap, Talib akan datang ke majlis hari lahir anak kami. Itu sudah pun memadai. Saat ini, kami masih berkawan baik. Malah, kami lebih serasi sebagai kawan selepas berpisah," katanya.

Ditanya mengenai bakal suaminya yang menjadi model untuk jubah keluarannya sendiri, Yatt memberitahu, ia terjadi secara kebetulan.

"Beliau jadi model bidan terjun sebenarnya. Lagipun beliau memang bertugas sebagai juruvideo untuk jubah itu. Begitupun, berikutan model yang sepatutnya tidak dapat hadir, jadi beliau menggantikan tempat lelaki terbabit. Itulah kisah yang sebenarnya," kata Yatt.

310 dibaca
Berita Harian X