Rabu, 17 Februari 2016 | 5:00pm

Azab wanita tersepit 20 minit

SEORANG wanita terpaksa menahan kesakitan lebih 20 minit apabila tersepit di bahagian penumpang hadapan sejurus kereta yang dipandu pasangannya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 115, Jalan Ipoh-Butterworth. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.

BAGAN SERAI: Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan lebih 20 minit apabila tersepit di bahagian penumpang hadapan sejurus kereta dipandu pasangannya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 115 Jalan Ipoh-Butterworth, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 10.29 malam dan mendapati kereta jenis Proton Iswara dalam keadaan remuk, manakala sebuah lori terbalik serta menghalang laluan utama.

"Siasatan awal polis mendapati, punca kemalangan disebabkan kereta dipandu pasangan mangsa yang datang dari arah Parit Buntar menghala Bagan Serai, masuk ke laluan bertentangan dan merempuh tayar belakang sebelah kanan lori terbabit.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa, Siti Zulaika Mat Sariff, 26, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tersepit, manakala lori terbabit terbalik merintangi jalan utama," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, mangsa yang tersepit diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, bagaimanapun tidak cedera teruk serta dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Parit Buntar.

"Pemandu kereta berusia 23 tahun dan pemandu lori berusia 46 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kejadian terbabit turut menyebabkan laluan trafik dari kedua-dua arah mengalami kesesakan lebih sejam," katanya.

Berita Harian X