Rabu, 17 Februari 2016 | 1:11pm

Kekang pelajar sertai kongsi gelap di Kota Kinabalu


M Chandra beramah mesra dengan pelajar SM La Salle selepas merasmikan Program Remaja Berwawasan Peringkat Daerah Kota Kinabalu di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Polis akan melakukan pemantauan termasuk bekerjasama dengan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan pelajar di bandar raya ini tidak terbabit dengan kegiatan gangsterisme atau kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata walaupun tiada rekod menunjukkan wujud pembabitan pelajar sekolah dalam kegiatan berkenaan di bandar raya ini, pihaknya serius memantau kes itu bagi memastikan ia tidak berlaku.

"Berdasarkan statistik, kes jenayah membabitkan pelajar sekolah di daerah ini amat terpencil dan tidak membimbangkan. Selain itu, tiada rekod menunjukkan pelajar terbabit secara langsung dalam aktiviti jenayah terancang seperti kumpulan kongsi gelap.

"Bagaimanapun, polis melakukan pemantauan berterusan termasuk bekerjasama dengan guru atau ibu bapa bagi tujuan itu," katanya kepada media selepas merasmikan Program Remaja Berwawasan Peringkat Daerah Kota Kinabalu di Sekolah Menengah (SM) La Salle di Tanjung Aru, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Keselamatan dan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Kalsom Idris dan Pengetua SM La Salle, Mary Magdelena.

Terdahulu, Chandra berkata, program itu adalah kesinambungan kepada usaha Strategi Lautan Biru (NBOS) dalam memantapkan disiplin pelajar untuk mengikuti kursus yang diadakan dua tahun sekali itu.

"Kursus ini disertai 40 pelajar yang dipilih pihak sekolah. Tahun ini, pelajar dari SM La Salle dan Sekolah Tinggi Kota Kinabalu di bandar raya ini dipilih menyertai program ini," katanya.

Berita Harian X