Selasa, 16 Februari 2016 | 7:09pm

Anuar tak gusar usia bertambah


Anuar Zain

KUALA LUMPUR: Semalam, usia penyanyi Keabadian Cinta, Anuar Zain, bertambah lagi angkanya menjadi 46 tahun.

Namun, artis dengan wajah yang seakan-akan tidak dimamah waktu itu berkata, pertambahan angka bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya ia menjadikan dirinya lebih matang dan optimis meneruskan hidup.

"Pada usia 46 tahun dan bersama pengalaman dilalui dalam hidup, ia lebih menjadikan saya insan yang kuat, reda dan tabah.

"Alhamdulillah, dengan izin-Nya juga, saya mempunyai keluarga, sahabat dan peminat yang memberikan sokongan tanpa jemu, selain sering mengutuskan doa.

"Usia itu hanya angka dan saya pula menikmati keindahan hidup ini seadanya. Sama ada saya meningkat tua dengan menawan atau tidak, semuanya terletak kepada penelitian orang lain," katanya kepada BH Online.

Pada hari lahirnya semalam, penyanyi yang juga adik kepada Ziana Zain diraikan dalam majlis kejutan. Beberapa keping gambar acara terbabit turut dikongsi di laman sosial.

Anuar memberitahu, saban tahun ada saja sambutan sempena hari lahir dianjurkan oleh mereka yang disayanginya, termasuk peminat sendiri.

"Alhamdulillah, terima kasih atas ingatan keluarga, sahabat handai dan peminat. Ia anugerah indah dan berharga buat diri saya. Doa yang baik-baik itu cukup saya hargai," katanya.

Mengenai perkembangan seninya, Anuar memberitahu, beliau masih dalam proses melunaskan baki menyiapkan album studio kelima.

"Saya baharu saja merakamkan sebuah lagi lagu, manakala selebihnya masih dalam proses gubahan muzik. Kali ini, saya bekerja dengan beberapa komposer tempatan seperti Helen Yap, Azalea, Sze Wan dan juga pengkarya Indonesia seperti Numata.

"Cuma buat waktu ini, saya belum pasti lagu yang bakal dipertaruhkan sebagai single pertama. Semuanya tertakluk kepada produk akhir dan situasi ketika itu," katanya yang menganggap setiap album yang hadir mempunyai sisi ceritanya tersendiri.

Beliau juga bakal bekerjasama dengan dua penggubah muzik yang baru dikenali dari Indonesia.

"Beberapa lagu dalam album ini akan turut mempunyai sentuhan orkestra dan rakamannya akan diadakan di luar negara. Ia cukup istimewa buat saya. Harapan saya, peminat akan dapat menikmati album ini dengan sepuasnya.

"Dari aspek pemilihan lagu dan gubahan muzik, insya-Allah peminat akan menyukai nyanyian saya di dalam album ini," katanya yang turut memasang impian mempunyai empayar perniagaannya sendiri.

18 dibaca
Berita Harian X