Selasa, 16 Februari 2016 | 6:07pm

Konsep rumah mesra taska di kediaman baharu


Datin Chew Mei Fun

ALOR SETAR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mencadangkan kepada Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA) untuk mewujudkan konsep rumah mesra taska di setiap 200 unit kediamaan baharu di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datin Chew Mei Fun, berkata pembinaan rumah yang mempunyai dua fungsi itu iaitu sebagai kediamaan dan taska, boleh diwujudkan di kawasan perumahan baharu dengan nisbah 200 rumah bagi satu taska.

Beliau berkata, cadangan itu bagi memudahkan pengusaha untuk mewujudkan taska baharu secara berdaftar tanpa perlu membuat permohonan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sebaliknya hanya perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kesihatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif itu dibuat kementerian berikutan pihaknya percaya masih banyak lagi taska di negara ini yang beroperasi secara tidak sah.

"Sebelum ini, mana-mana pengusaha yang nak tubuhkan taska, mereka perlu mendapat kebenaran empat agensi iaitu JKM, JBPM, PBT dan Jabatan Kesihatan, namun kebiasaannya PBT paling sukar memberi kebenaran atas faktor persetujuan jiran tetangga.

"Justeru, jika cadangan ini dilaksanakan, pengusaha taska boleh mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak itu tanpa perlu melalui PBT," katanya selepas melawat Taska Komuniti Penyayang di Taman Mahkota, di sini.

Berita Harian X