Selasa, 16 Februari 2016 | 12:56pm

Marsha sedih peluang serlah bakat nyanyian terhad


MARSHA Milan Londoh . - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

KUALA LUMPUR: Marsha Milan Londoh yang memiliki vokal lunak kesal apabila beliau tidak diberikan peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian.

Beliau bagaimanapun enggan patah semangat dengan senario itu, sebaliknya menjadikan ia sebagai pendorong untuk lebih berusaha keras memajukan diri.

Marsha berkata, beliau percaya tuah belum berpihak kepadanya sebagai penyanyi biarpun sudah mencuba pelbagai cara bagi mengetengahkan bakat nyanyian dimiliki.

"Sedih rasanya kerana pelbagai cara sudah saya lakukan untuk membuktikan bakat dalam bidang nyanyian. Namun, saya percaya pada rezeki. Ada penyanyi yang menjadi popular selepas 10 tahun berkecimpung dalam arena seni suara dan ada yang berjaya menempa populariti dalam jangka masa singkat.

"Buat masa ini, saya akur rezeki lebih berpihak dalam bidang pengacaraan dan lakonan. Lagipun, kurang manis untuk menolak permintaan orang, namun semestinya keutamaan saya adalah bidang nyanyian.

"Bagaimanapun, saya merancang untuk memberikan fokus kepada bidang nyanyian pada tahun ini. Saya juga akan lebih meneliti watak yang ditawarkan," katanya kepada BH Online.

Marsha mula dikenali dalam dunia hiburan apabila beliau menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005.

Ramai tetamu majlis resepsi Akim dan Stacy di Sabah baru-baru ini, memuji kemantapan vokal Marsha, 30, mempersembahkan lagu Mencintaimu nyanyian asal Kris Dayanti.

Wanita kelahiran Negeri di Bawah Bayu itu berkongsi, beliau sedang sibuk mempromosikan single terbaharu berjudul Sudah Kutemui, iaitu hasil ciptaannya sendiri. Lagu itu didedikasikan kepada suaminya dan dinyanyikan beliau ketika majlis perkahwinannya, awal tahun ini.

Berita Harian X