Isnin, 15 Februari 2016 | 10:51pm
Antara wang tunai yang ditemui bersama peragut dalam sidang akhbar Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah.

Polis tumpas 'Geng Pantai'

KETUA Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah ketika sidang media kes ragut.

KUALA LUMPUR: Empat ahli 'Geng Pantai' yang aktif melakukan jenayah ragut di KLCC dan kawasan sekitarnya ditahan polis tidak sampai sejam selepas cuba meragut seorang pelancong wanita warga Korea dalam kejadian pada 9 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada wanita berusia 28 tahun memberitahu cuba diragut dua lelaki ketika berjalan di Jalan Raja Chulan, pada jam 6.30 petang.

Katanya, dalam kejadian itu suspek yang menunggang motosikal jenis YAMAHA LC135 itu dikatakan cuba menarik beg tangan mangsa, namun gagal menyebabkan kedua-dua mereka dan mangsa terjatuh.

"Mangsa mengalami calar pada lengan kiri dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat laporan polis.

"Dua suspek melarikan diri dan meninggalkan motosikal mereka di lokasi kejadian sebelum menghubungi rakan mereka untuk mendapatkan bantuan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Zainol berkata, anggota yang melakukan rondaan berjaya menahan dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik dua lelaki itu mendedahkan mereka menerima panggilan daripada suspek yang meminta bantuan untuk mengambil mereka selepas gagal dalam cubaan meragut itu.

"Berdasarkan maklumat itu, dua suspek itu berjaya ditahan di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Bukit Bintang dan hadapan sebuah premis hiburan di Jalan Changkat," katanya.

Katanya, semua suspek berusia 19 tahun yang juga pelajar kolej itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Kumpulan ini dipercayai aktif sejak empat bulan lalu dan menjadikan pelancong asing sebagai sasaran mereka.

"Kita kini sedang memburu dua lagi anggota kumpulan terbabit dan percaya dapat menahan mereka tidak lama lagi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, pihaknya menerima sekurang-kurangnya 100 laporan berhubung kejadian samun dan ragut di sekitar Jalan Ampang, Jalan Pinang, Jalan Raja Chulan.

Katanya, berdasarkan statistik, sebanyak 365 kes ragut berlaku dalam Daerah Dang Wangi, sekali gus menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak membuka peluang kepada penjenayah.

Bagaimanapun, katanya, polis sentiasa meningkatkan rondaan dan kawalan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), selain menempatkan anggota di lokasi dikenal pasti bagi memantau keadaan.

Berita Harian X