Isnin, 15 Februari 2016 | 1:52pm

6 pantai di Terengganu, Kelantan kritikal


WAN Junaidi (dua dari kiri) dan Pengarah JPS Terengganu, C Poobalan (kiri) meninjau kawasan penambakan pasir dan pemecah ombak ketika melawat Projek Mencegah Hakisan Pantai (Fasa 2) di Pejabat Tapak Projek, Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Enam pantai di Terengganu dan satu di Kelantan dikategorikan sebagai kritikal akibat hakisan dan perlu dibina benteng pemecah ombak dengan segera menerusi peruntukan kerja darurat.

Menteri Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM14 juta bagi membolehkan kerja pencegahan hakisan termasuk projek penambakan pasir dan pembinaan struktur pemecah ombak dilakukan.

Katanya, enam kawasan berkenaan ialah pantai Teluk Lipat di Dungun, Bukit Keluang, Besut; Pantai Kemasik, Kemaman; Tanjung Gelam, Kuala Nerus; Pantai Rusila, Marang; serta Pantai Kundur, Kota Bharu.

"Kita meluluskan peruntukan segera bagi membolehkan kerja pencegahan hakisan dilakukan di Pantai Teluk Lipat membabitkan peruntukan RM3.5 juta, Pantai Rusila (RM3 juta), Bukit Keluang (RM1.5 juta), Pantai Kemasik (RM2 juta), Pantai Tanjung Gelam (RM3 juta) dan Pantai Kundur membabitkan peruntukan berjumlah RM1 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau projek mencegah hakisan pantai di Tok Jembal, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad; Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN), Zainal Abidin Hussin; Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik; serta Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, Kerajaan Pusat turut meluluskan RM15 juta untuk melaksanakan projek tebatan banjir, pemulihan dan menaik taraf Sungai Cepuh, Telemong dan projek tebatan banjir Kuala Terengganu Utara berjumlah RM10 juta.

Katanya, RM12 juta diperuntukkan untuk melaksanakan sistem saliran mesra alam di Kampung Gong Kiat dan Kampung Guntung Luar di Setiu.

Berita Harian X