Isnin, 15 Februari 2016 | 12:07am
EMMA Maembong (kiri) bersama Izzue Islam pada sambutan ulang tahun ketiga kelab peminatnya, Emavangers di Ruang, Subang Jaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Izzue sedih ditohmah pelbagai cerita negatif


ADA rasa sesal pada riak wajah lelaki ini apabila diajak berbicara mengenai pelbagai cerita kurang enak membabitkan dirinya sejak akhir-akhir ini. Namun akuinya, beliau sentiasa belajar untuk bertenang dan mengambil sikap berdiam diri kerana itulah yang paling baik baginya.

Akui Izzue Islam, beliau sendiri tertanya-tanya, apa silap yang dilakukannya sehingga timbul pelbagai cerita sedemikian, termasuk kononnya digam oleh stesen televisyen apabila mula bersikap 'demanding' serta meletakkan syarat tertentu sebelum bersetuju untuk berlakon.

"Jujurnya saya terdiam juga dan bertanya pada diri sendiri, mengapa timbul semua cerita seperti ini? Saya akui ada mendengar konon stesen televisyen tidak mahukan saya dan sebagainya.

"Sedangkan, saya sangat bersyukur kerana pelbagai tawaran masih lagi saya terima," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Bagi Izzue, beliau menyerahkan semuanya kepada Tuhan kerana beliau percaya, soal rezeki di tangan Yang Maha Pencipta, begitu juga perjalanan kerjaya seninya pada masa depan.

Beliau turut mengakui, ada cerita sampai ke telinganya mengenai isteri yang merangkap pengurusnya, Awin Nurin. Wanita itu kononnya dikatakan mengawal beliau sehingga mengganggu lakonannya di lokasi.


PELAKON dan penyanyi, Izzue Islam. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Baik saya mahupun isteri, kamu sendiri tidak faham apabila timbul perkara seperti ini. Saya bersyukur kerana Awin seorang yang profesional, malah dia juga meminta supaya saya fokus pada lakonan dan tidak terlalu memikirkan perkara seperti ini," katanya.

Tambah Izzue, saat cerita kononnya beliau digam bertebaran, beliau memanjatkan kesyukuran kerana dirinya tidak lekang daripada menerima tawaran berlakon dari semua stesen televisyen.

Bukan mahu mendabik dada, namun katanya, beliau dapat menarik nafas lega kerana apa yang berlaku berbeza dengan cerita yang tersebar mengenai dirinya.

Terbaharu, Izzue bakal muncul dalam telefilem berjudul Paku di Tiang bersama-sama pelakon hebat, Wan Hanafi Su, yang akan disiarkan menerusi saluran berbayar, 20 Februari ini.

Beliau berkata, dalam drama itu dirinya diberikan watak yang mencabar, iaitu seorang anak keras kepala dan sering membuatkan bapanya kecewa dengan salah lakunya.


DAKWAAN kononnya Izzue Islam digam stesen televisyen dan bersikap 'demanding' adalah tohmahan semata-mata. Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Izzue berkata, berbeza dengan watak lelaki kaya dan romantik seperti dalam beberapa naskhah sebelum ini, telefilem itu menuntutnya bermain dengan emosi dalaman dan ketangkasan fizikal dalam aksi pertarungan.

"Meskipun saya berlakon dalam dialek negeri asal saya, Kelantan, dan lokasi penggambaran juga di sana, saya tetap perlu memberikan fokus yang sepenuhnya.

"Saya gembira kerana berpeluang beraksi dalam telefilem yang hebat ini dan berharap peminat dapat menonton lakonan saya nanti," katanya teruja.

Selain itu, Izzue berkata beliau juga sedang dalam perancangan untuk membintangi drama bersiri untuk siaran beberapa stesen termasuk TV3 tidak lama lagi.

Beliau juga baharu selesai menjalani rakaman sebuah program Hari Raya, selain mula berjinak-jinak menjadi pengacara termasuk di saluran Hypp TV.


IZZUE Islam dalam perbincangan membintangi drama bersiri untuk siaran beberapa stesen televisyen termasuk TV3. - Foto Aziah Azmee

"Inilah yang dinamakan rezeki. Saya sentiasa bersyukur kerana peluang terbuka luas buat saya walaupun industri kini dibarisi banyak bakat baharu.

"Bagi saya, setiap tawaran yang datang perlu disempurnakan sebaik mungkin," kata hero drama Suami Sebelah Rumah itu.

Katanya juga, dua filem lakonannya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi iaitu Bella & Jamie dan Tujuh Dimensi Aliff.

Mengenai kerjaya nyanyiannya bersama Forteen, Izzue berkata, mereka bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Dekat Tapi Jauh, ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim.

Menurutnya, perkembangan itu juga menutup cerita kononnya kumpulan yang turut membariskan Ariz, Ameer dan One itu akan berpecah seperti yang didakwa sesetengah pihak.


KUMPULAN Forteen yang dianggotai oleh Izzue membuat persembahan pada pusingan separuh akhir ketiga Muzik-Muzik 30 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto Ghazali Kori

"Kami tetap bersama walaupun masing-masing mempunyai komitmen tersendiri selain nyanyian. Tidak ada sebab untuk kami berpecah selepas lima tahun kami bersama," katanya.

Sementara itu, selain lakonan dan nyanyian, Izzue juga ligat menjalani perniagaan pakaian seperti jubah, kurta dan kemeja-T.

Beliau berkata, perniagaan yang dijalankan itu adalah sebagai persediaan untuk masa depan.

"Saya juga bakal menyertai satu kedai dalam talian tidak lama lagi untuk menawarkan koleksi pakaian, terutama kepada peminat dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi," katanya.

Mengenai pencalonannya dalam senarai awal Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29, Izzue menyerahkan kepada peminat untuk membuat undian.

"Kalau tengok senarainya, memang semua ada peminat masing-masing. Bagi saya, dicalonkan saja sudah memberikan makna yang besar. Terima kasih kerana sentiasa menyokong Izzue Islam," katanya.

Berita Harian X