Ahad, 14 Februari 2016 | 1:40am
PEMAIN Everton, Bryan Oviedo (kiri) bersaing merebut bola bersama pemain West Brom, Salomon Rondon pada aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park. Everton tewas 1-0. - Foto Reuters

Everton berduka di Goodison Park

LONDON: Kelebihan beraksi di laman sendiri, Goodison Park gagal dimanfaat Everton apabila tumbang 1-0 kepada West Bromwich Albion pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

Salomon Rondon muncul wira West Brom dengan jaringannya pada awal babak pertama permainan menjadi gol tunggal perlawanan dengan kemenangan membawa kelab itu lapan mata daripada zon penyingkiran.

Sekali pun menguasai permainan, tuah jelas tidak memihak Everton ketika West Brom memanfaat peluang terbaik untuk menjaringkan gol sekali pun hanya berjaya melakukan enam cubaan tepat ke gawang.

Kekalahan turut menamatkan rentetan tiga kemenangan termasuk pada kempen Piala FA buat skuad bimbingan Roberto Martinez yang hanya menang empat perlawanan di laman sendiri, musim ini.

Dalam pada itu, Southampton mendaki ke tangga enam liga hasil kemenangan 1-0 ke atas Swansea City di Stadium Liberty dengan gol kemenangan dijaringkan James Ward-Prowse pada minit ke-69.

Di Stadium Vitality, Stoke City melakar kemenangan meyakinkan 3-1 ke atas Bournemouth dengan pemain termahal kelab itu, Giannelli Imbula turut menyumbang gol.

Imbula menjaringkan gol voley menarik pada minit kesembilan perlawanan yang meletakkan Stoke di depan dengan dua lagi gol dijaringkan pada babak kedua menerusi Ibrahim Afellay dan Joselu.

Matt Ritchie menjaringkan gol tunggal Bournemouth.

Pada perlawanan EPL lain, malam tadi, Crystal Palace tumbang 1-2 kepada Watford manakala Norwich City terikat 2-2 dengan West Ham United. - Agensi

Berita Harian X