Sabtu, 13 Februari 2016 | 7:02pm

Penunggang motosikal maut rempuh treler


PENUNGGANG maut selepas rempuh treler di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, pagi tadi.

BUKIT KAYU HITAM: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya merempuh sebuah treler di Jalan PxKNK 7, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, dekat sini, pagi tadi.

Kemalangan jam 10.40 pagi itu terjadi apabila Rozaidi Romli, 35, sedang menunggang motosikal menghala ke Bukit Kayu Hitam sebelum treler dari arah bertentangan iaitu simpang sebuah gudang, dekat sini, membelok ke kanan, sekali gus menghalang laluan mangsa.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga seorang tukang kebun di sebuah sekolah menengah dekat sini, tidak sempat mengelak sebelum merempuh tayar di bahagian tengah treler.

Beliau berkata, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.


MANGSA tidak sempat mengelak sebelum merempuh tayar di bahagian tengah treler.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Kampung Lat Seribu, Simpang Ampat, Perlis tidak memakai topi keledar dan tiada lesen memandu.

"Siasatan kini masih diteruskan untuk mengesan saksi yang berada di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jitra, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, pemandu treler, Ra'ayulid Mohamad Ismail, 40, yang berasal dati Kampung Panjang, Gurun, kemudiannya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

Berita Harian X