Sabtu, 13 Februari 2016 | 1:01pm

Bomba guna helikopter padam kebakaran Gunung Baling

JBPM Kedah membawa bekalan 500kg air menggunakan pesawat Agusta AW139 untuk bantu usaha pemadaman kebakaran di puncak Gunung Baling. - Foto Safuri Kamarudin

BALING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan khidmat helikopter jenis Agusta AW 139 miliknya untuk melakukan pemadaman kebakaran di puncak Gunung Baling, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Kedah, Nazri Zakaria, berkata helikopter berlepas dari Pangkalan Udara Bertam di Pulau Pinang itu akan membawa muatan 500 kilogram air untuk tujuan pemadaman menggunakan tong dan 'jet shooter'.

Beliau berkata, seramai 13 anggota daripada Pasukan Khas Unit Udara JBPM akan menjalankan operasi memadam api di puncak itu dengan membawa bekalan air menggunakan tong dan peralatan pemadam.

"Kita bernasib baik kerana kawasan itu dilanda hujan lebat malam tadi, namun ada beberapa lokasi yang tidak terkena air menyebabkan api masih merebak terutama kawasan terlindung dengan hutan tebal.

"Lebih 40 anggota lain turut terbabit operasi memadam membabitkan pelbagai pihak termasuk penduduk kampung yang bergerak ke puncak gunung awal pagi ini untuk memadam kebakaran," katanya.

Semalam operasi memadam kebakaran di Gunung Baling mendapat khidmat dua pesawat pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membabitkan Bombardier CL 415 dan helikopter Agusta AW 139.

Berita Harian X