Sabtu, 13 Februari 2016 | 10:33am
JBPM Kedah membawa bekalan 500kg air menggunakan pesawat Agusta AW139 untuk bantu usaha pemadaman kebakaran di puncak Gunung Baling - - Foto Safuri Kamarudin

Operasi padam kebakaran Gunung Baling diteruskan

PEMANDANGAN dari udara keadaan Gunung Baling yang terbakar. - Foto Ihsan Bomba

BALING: Operasi memadam kebakaran di puncak Gunung Baling, dekat sini, diteruskan pagi ini dengan menggunakan kaedah manual.

Difahamkan, operasi membabitkan 24 anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dengan dibantu orang awam yang mula naik ke puncak gunung itu pada jam 8 pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Kedah, Nur Hafizah Mohd Lokman, berkata operasi diketuai Penolong Pengarah Penyiasatan Kebakaran JBPM Kedah, Mohamad Yunus Abu.

Kebakaran di puncak Gunung Baling setinggi 400 meter berlaku sejak kelmarin, dipercayai berpunca daripada kecuaian pendaki yang melakukan pembakaran sehingga merebak.

Semalam, khidmat pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) digunakan untuk operasi pemadaman.

Selain pesawat milik APMM, sebuah helikopter milik JBPM turut digunakan untuk membantu, termasuk dalam melakukan pemantauan operasi dari udara.

Berita Harian X