Sabtu, 13 Februari 2016 | 12:09am

22 Julai dicadang tarikh peringati kemerdekaan Sarawak


KETUA Menteri, Tan Sri Adenan Satem. - Foto Mohd Radzi Bujang.

MIRI: Tarikh 22 Julai dicadangkan sebagai cuti umum di Sarawak sebagai memperingati kemerdekaan negeri ini daripada penjajahan British Union.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem ketika membuat cadang itu, berkata perkara berkenaan akan diperhalusi bersama bersama anggota Kabinet Sarawak, termasuk program pengisiannya.

"Tarikh 22 Julai cukup sinonim dengan Sarawak kerana ia detik kemerdekaan kita negeri ini (dari British Union). Justeru, kita bercadang menjadikannya sebagai cuti umum bagi memperingati peristiwa bersejarah itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri dan Sibuti, di sini, malam tadi.

Yang hadir sama isteri Adenan, Puan Sri Jamilah Anu dan Presiden SUPP, Senator Profesor Datuk Dr Sim Kui Hian.

Turut kelihatan dua bekas Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Bagaimanapun, Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, berkata cadangan itu bukanlah bermaksud negeri ini mahu menuntut 'kemerdekaan' dari Malaysia.

"Sebaliknya, ia sekadar simbolik menghargai kemerdekaan negeri ini dari penjajahan, sekali gus memperkukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat kita, khusus golongan muda.

"Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan tetap diraikan setiap tahun," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X