Jumaat, 12 Februari 2016 | 12:12pm

MATRADE sasar 40 syarikat Bumiputera ke pasaran global

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan 30 hingga 40 syarikat milik usahawan muda Bumiputera akan menembusi pasaran eksport setiap tahun, menerusi program Generasi Pengeksport Baharu (GenEX).

Program GenEX yang bermatlamat meningkatkan pembabitan belia Bumiputera dalam pasaran eksport adalah hasil pemeteraian memorandum persefahaman antara MATRADE bersama Generasi Muda Berjaya (GMB) pada Kongres 2015, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud, berkata buat permulaan sebanyak 100 syarikat milik usahawan muda Bumiputera berpotensi mengeksport produk serta perkhidmatan akan dikenal pasti untuk menyertai program GenEX pada tahun ini.

Katanya, GenEX dianggap mencapai matlamat jika pada penghujung program antara 30 hingga 40 syarikat berkenaan berjaya menembusi pasaran eksport.

"Program ini akan mendapat sambutan memandangkan GMB memiliki ramai ahli yang bergiat dalam perniagaan dan MATRADE boleh membantu secara lebih tersusun di samping memberikan bimbingan supaya usahawan terbabit boleh meluaskan lagi pasaran.

"Ada segelintir syarikat milik usahawan muda sudah mengeksport ke pasaran antarabangsa, namun kami mahukan lebih banyak lagi syarikat terbabit dalam eksport. Ada ramai usahawan muda yang bergiat dalam industri kreatif, minyak dan gas, baik pulih dan penyelenggaraan, makanan dan minuman serta pakaian.

"Jika didik dan dibantu dengan cara yang betul, mereka pasti akan dapat membantu negara menambah lagi pendapatan eksport," katanya kepada media selepas majlis pelancaran program GenEX di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancaran disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi MATRADE, Datuk Noraini Ahmad dan Presiden GMB, Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata MATRADE dan GMB bersetuju untuk melaksanakan program GenEX selama lima tahun supaya lebih ramai usahawan muda Bumiputera berpeluang meneroka pasaran eksport.

"Jika ada syarikat yang tidak terpilih pada tahun ini, mereka berpeluang mencuba lagi pada tahun hadapan. Malah, jika sambutan didapati memberangsangkan, MATRADE akan bekerjasama dengan badan lain seperti TERAJU, MARA, SME Corp dan SME Bank.

"MATRADE juga sudah berbincang dengan International Trade Centre (ITC) di Geneva untuk mencari kaedah membantu usahawan muda negara ini menembusi pasaran eksport.

"Kami akan mengemukakan pelbagai cadangan kepada institusi antarabangsa supaya usahawan muda dapat menggunakan model tertentu bagi merancakkan eksport. MATRADE berusaha menyediakan laluan pantas kepada usahawan muda," katanya.

Beliau menambah, buat masa ini tiada perangkaan rasmi jumlah usahawan muda tempatan yang bergiat dalam pasaran eksport namun angkanya dianggarkan sekitar tiga hingga lima peratus.

Justeru, katanya, program bersama GMB penting kerana kerajaan berpendapat masa hadapan negara ini terletak di tangan golongan muda yang dapat memacu eksport serta mempelbagaikan produk eksport negara, khususnya barangan yang mempunyai nilai tambah tinggi.

"Persaingan di peringkat lebih tinggi memerlukan inovasi, jadi usahawan muda lebih memahami kehendak pasaran. Peranan kami adalah memastikan golongan ini didedahkan dengan peraturan perdagangan di luar negara selain memberi peluang untuk bertemu dan membuat promosi di peringkat antarabangsa," katanya.

Antara kriteria pemilihan GenEX ialah syarikat dimiliki oleh belia Bumiputera, mempunyai pelan perniagaan mantap, mengamalkan etika serta amalan perniagaan yang baik serta bersedia mengeksport.

Berita Harian X