Jumaat, 12 Februari 2016 | 7:51am

Gotong-royong perdana cegah denggi di Kota Belud


Datuk Abdul Rahman Dahlan

KOTA BELUD: Gotong-royong perdana anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dilancarkan, di sini, petang semalam, disambung mulai jam 8 pagi ini sehingga menjelang tengah hari.

Aktiviti terbabit bermula jam 6 petang semalam sehingga jam 12 tengah malam tadi selepas pelancaran oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan. Sesi pagi ini akan berakhir jam 11 pagi nanti.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata aktiviti itu bertumpu kepada pembasmian denggi dengan menggunakan kaedah 'hapus dan musnah jentik-jentik' bagi mengurangkan jumlah kes demam berkenaan, khususnya di daerah ini.

"Pelbagai peralatan dan jentera digunakan sepanjang gotong-royong ini, antaranya jengkaut, penyembur air, lori tangki enap cemar dan ultra-whack," katanya berharap langkah itu dapat mengurangkan kes denggi, khususnya di Kota Belud dan dicontohi penduduk daerah lain.

Beliau berkata, kementerian juga menggerakkan pelbagai agensi di bawahnya untuk melaksanakan gotong-royong perdana menghapuskan kawasan pembiakan Aedes, susulan kes denggi yang dilaporkan meningkat di Sabah kebelakangan ini, khususnya di daerah ini.

"Sebanyak 18,481 kes denggi dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 10 Februari lalu, termasuk 629 kes di Sabah.

"Justeru, saya mengarahkan agensi di bawah kementerian melalui Jabatan Kerajaan Tempatan, bomba dan SWCorp yang dibantu Alam Flora Sdn Bhd, Majlis Daerah Kota Belud serta Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud membersihkan kawasan potensi pembiakan Aedes," katanya.

Katanya, sasaran utama kerja pembersihan itu ialah longkang tersumbat dan saluran paip yang tidak baik.

Berita Harian X