Jumaat, 12 Februari 2016 | 12:16am
TASHA Shilla bergambar bersama anak buahnya, Azzalea Imaan. - Foto ihsan Instagram Tasha Shilla
SISI lembut Tasha Shilla dapat dilihat apabila beliau kerap memuat naik gambar si comel di laman Instagram peribadinya. - Foto ihsan Tasha Shilla
ARTIS, Tasha Shilla, mahu lupakan semua kontroversi yang lalu - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tuah dan jodoh belum menyebelahi Tasha Shilla


KUALA LUMPUR: Melihat kekerapannya memuat naik gambar si comel termasuk dua anak saudara di laman Instagram peribadi, jelas menyerlahkan sisi lembut artis kontroversi, Tasha Shilla, 29.

Perkongsian detik indah bersama dua anak buah, Adelea Imaan yang berusia tiga tahun dan si kecil, Azzalea Imaan baru menginjak usia setahun seperti dipaparkan Tasha dalam laman sosial, menunjukkan dirinya sukakan kanak-kanak.

Nampaknya, ciri-ciri keibuan makin terserlah dalam diri Tasha atau nama penuhnya, Natasha Sheila Abdul Razak.

Ia jauh berbeza daripada persepsi gadis liar dan ratu sosial yang sering dilemparkan terhadap penerima trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 ini.


TASHA Shilla bergambar bersama anak buahnya, Adelea Imaan. - Foto ihsan Instagram Tasha Shilla

Malah, ketika sesi temu bual berlangsung pada majlis yang turut dihadiri Rozita Che Wan dan anaknya, Aaisyah Dhia Rana, Tasha tidak kekok meriba dan melayan si comel Aaisyah.

Aksi mereka yang dirakamkan untuk pelanggan BH, cukup mencuit hati apatah lagi Aaisyah keletah dan tampak sudah kenal rapat dengan Tasha.

Melihat usianya yang menghampiri angka 30, Tasha sebenarnya sudah layak disunting dan membina mahligai bersama pasangan tercinta. Apatah lagi, ramai teman baiknya sudah mendirikan rumah tangga.

Namun, sehingga kini, tuah dan jodoh belum menyebelahi Tasha. Namun, dia percaya, masanya akan tiba.


TASHA memanjat rasa syukur kerana dikelilingi keluarga dan peminat setia yang sentiasa memberi sokongan. - Foto Nik Hariff Hassan

Pernah menjalin cinta dengan jejaka yang menceburi sukan Muay Thai, takdir akhirnya memisahkan mereka. Malah, baru-baru ini bertebaran pula gosip mendakwa pelakon drama Gemilang itu sedang mengenali seorang jejaka berpangkat kapten.

Namun, Tasha pantas menafikannya.

"Saya percaya jodoh akan tiba tepat pada masanya, tapi, saya tak mampu menduga bila semua ini akan menjadi kenyataan.

"Dengan segala kontroversi dan perkara negatif yang pernah datang menimpa, saya memilih untuk fokus kepada kerjaya berbanding hal peribadi. Sesungguhnya, 2016 adalah tahun saya kembali ke gelanggang seni," katanya.

Apa yang dipinta gadis ini, usah ditanya lagi soal peribadi.

"Kontroversi dan apa yang terjadi selama ini mengajar saya untuk bermuhasabah serta memperbaiki diri.

"Belum masa lagi untuk saya kongsi cerita peribadi. Cukuplah apa yang pernah disajikan selama ini. Apa yang berlalu biarlah jadi kenangan dan saya tak mahu ingat lagi," katanya.


TASYA bersama anak-anak yatim Pusat Pengurusan Al-Firdaus, Denai Alam ketika sambutan hari jadi ke-29 baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee

Tenang dengan kanak-kanak

Mengenai 'buah hati' si comel Adelea dan Azzalea, Tasha berkata, jika tiada komitmen seni atau penggambaran, dia sanggup melayan kerenah dua anak buahnya itu sepanjang masa.

"Mereka ini kesayangan saya. Pantang ada masa senggang, saya akan jaga mereka seperti anak sendiri. Melihat kerenah anak Rozita pun saya jadi asyik saja. Kecomelan Aaisyah memang menambat hati ramai. Saya pun 'tergoda' dengannya.

"Suatu perkara yang saya yakin, apabila bersama kanak-kanak, lapang dan tenang saja dada. Masalah yang ada boleh dilupakan sementara. Itulah kuasa kanak-kanak," katanya.

Mula dihujani tawaran berlakon

Memasuki bulan kedua tahun ini, Tasha 'tak menang tangan' menimbang tawaran berlakon.

Tasha baru saja selesai penggambaran telefilem Parut untuk siaran Ramadan. Malah, beberapa lagi projek seni menunggu masa untuk memulakan penggambaran.

"Ada sebab saya memperlahankan bidang seni tahun lalu. Ini kerana saya mahu berehat dan meredakan keadaan termasuk kontroversi yang tak putus-putus.

"Jadi sekarang adalah masanya untuk saya kembali ke landasan seni. Sebelum ini, saya tersasar dan seakan terumbang ambing dengan pelbagai perkara termasuk kecewa putus cinta.

"Saya mahu buang yang keruh dan ambil yang jernih. Saya percaya rezeki Tuhan itu ada di mana-mana. Semuanya sudah tertulis dan kita sebagai hamba-Nya kena berusaha," katanya.


TASYA bersyukur kerana dikelilingi keluarga dan peminat setia yang sentiasa memberi sokongan. - Foto Aziah Azmee

Tasha memanjat rasa syukur kerana dikelilingi keluarga dan peminat setia yang sentiasa memberi sokongan.

"Sambutan ulang tahun saya bersama kelab peminat baru-baru ini adalah bukti mereka masih kukuh di sisi saya.

"Jadi, saya tak boleh berputus asa. Minat dalam dunia lakonan tak pernah terhakis. Ia sudah sebati dalam diri," katanya.

Tasha berkata, mulai sekarang, dia perlu berhati-hati memilih watak untuk dilakonkan.

"Selama berkecimpung dalam bidang lakonan, saya hanya menerima tawaran berlakon semata-mata. Sekarang, sudah tiba masanya, saya mencari watak yang benar-benar mampu memberi kesan kepada penonton.

"Dalam erti kata lain, saya memang kena selektif. Saya lebih mengikut gerak hati dalam mempertimbangkan tawaran," katanya.

Tasha meluahkan, dia tidak perlu membuktikan kepada sesiapa mengenai survival dirinya.

"Biarlah peminat yang menentukan dan melihat perkembangan. Saya memang nak habis-habisan kembali berlakon," katanya.

Mengenai bidang perniagaan, Tasha berkata, dia terpaksa menundakan dulu rancangan untuk memulakan bisnes.


TASHA Shilla bergambar bersama anak buahnya, Adelea Imaan. - Foto ihsan Instagram Tasha Shilla

"Apa yang saya buat sekarang masih di peringkat kecil-kecilan dan tak perlulah lagi saya kongsi. Biarlah lakonan diberi keutamaan. Perkara lain, tunggu dan lihatlah," katanya.

Sempat bertanya apakah Tasha masih terasa bahang kisah panas dan kontroversi lalu, dia berkata:

"Saya sudah buang jauh apa yang berlaku. Saya perlu berhati-hati pada masa mendatang supaya tidak berulang hal lama," katanya.

Isu Panas membabitkan Tasha Shila:

  • Pernah dituduh hidup ditaja individu dikenali sebagai 'Datuk J'
  • Gambar aksi menari tiang di kelab dan separuh bogel tersebar di alam maya
  • Persengketaan dengan Neelofa menjadi topik hangat netizen
  • Gosip bercinta dengan pemain Harimau Malaya, Mahali Jasuli
  • Didakwa melakukan pembedahan plastik pada hidung dan payudara
  • Kontroversi kisah cinta dengan peninju Muay Thai, Han Chen Wong, termasuk dakwaan melakukan perbuatan sumbang hingga hubungan terputus.
  • Gosip penyanyi, Kaka Azraff, dikatakan menjadi punca keretakan cinta antara Tasha dan Han.
  • Dikaitkan dalam isu 'gadis peneman' atau escort girl yang mendapat habuan lumayan.
Berita Harian X