Sabtu, 18 Oktober 2014 | 4:46pm
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua dari kiri) melihat tanaman cili menggunakan bahan organik ketika melawat pameran diruang pameran selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD), Zon Sabah, di Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin.

Rakyat Sabah perlu bersatu bendung fahaman militan - Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah terutama golongan muda diingatkan agar bersatu padu bagi membendung anasir atau fahaman militan seperti kumpulan Negara Islam (IS) daripada mempengaruhi masyarakat di negeri ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata rakyat Sabah seharusnya menolak fahaman dan ancaman seumpama itu yang boleh memudaratkan kesejahteraan dan keharmonian hidup.

"Jangan sesekali masyarakat terpikat atau terpengaruh dengan laungan jihad semata-mata yang membelakangkan agama serta perbuatan yang boleh menggadai maruah negara mahupun mencetuskan pergaduhan," katanya ketika berucap melancarkan Mini Karnival Usahawan Desa (Mini KUD) peringkat Sabah di Lintasan Deasoka, di sini, hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berharap pasukan keselamatan dapat meningkatkan pemantauan bagi menjaga dan mewujudkan suasana yang selesa di kalangan masyarakat.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti 39 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang dikaitkan dengan gerakan militan seperti IS.

Terdapat tiga kumpulan militan yang disertai rakyat Malaysia di Syria iaitu IS, Jabhat Al Nusra dan Ajnad Al Sham, dan lazimnya mereka menggunakan ayat al-Quran dan jihad semasa mengumpan golongan sasaran.

- BERNAMA T

12 dibaca
Berita Harian X